PAS menegaskan isu berhubung kedudukan menteri besar Selangor tidak berbangkit dan parti itu akan membantu jentera PKR berdasarkan keperluan dalam pilihan raya kecil Kajang.

“Dalam pada itu juga, ingin dipertegaskan bahawa isu kedudukan jawatan Menteri Besar Selangor adalah tidak berbangkit,” kata presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Dalam kenyataannya hari ini, Hadi berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat lajnah politik dan pilihan raya malam tadi di Pejabat Agung PAS di ibu negara.

Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Dr Mohd Hatta Ramli pula dilantik mengetuai jentera pilihan raya PAS dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) itu, tambah Hadi.

Sementara itu, PAS juga mengecam hukuman gantung sampai mati yang diputuskan Tribunal Jenayah Perang Bangladesh terhadap mantan menteri industri negara itu yang juga Ameer Jamaat Islami Bangladesh Matiur Rahman Nizami.

“Beliau telah dinafikan perbicaraan yang adil dan berdepan dengan berbagai ancaman ketika perbicaraan,” katanya.

Menurut Hadi, tribunal itu tidak sepatutnya menjadi penghukum politik kepada “kerajaan yang terdesak” dan seharusnya mendengar kritikan badan guaman dan hak asasi manusia antarabangsa.