Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) telah membuang beberapa laman Facebook yang didakwa menghina agama Kristian.

"Ada beberapa laman anti-Kristian, (bertajuk) 'Semenajung Malaysia anti Sabah Sarawak'.

"Kita dah pun berhubung dengan Facebook dan beberapa fanpage tersebut kita telah buang," kata pengerusinya Datuk Mohamed Sharil Mohamed Tarmizi ( kiri ).

Dalam sidang medianya hari ini, beliau bagaimanapun berkata, siasatan masih dijalankan berhubung perkara itu.

"Siasatan telah dibuat namun kita tidak boleh dedahkan sekarang," kata Sharil ketika ditanya berhubung tindakan lanjut SKMM.

Ketika ketegangan agama meningkat, PAS Sabah pada 30 Januari lalu membuat aduan kepada SKMM dan polis terhadap laman Facebook itu.

Laporan itu bukan yang pertama dibuat terhadap laman Facebook itu, yang antara lain, mengejek penganut Kristian melalui gambar, termasuk memaku katak di salib.

Pengadu memaklumkan bahawa Facebook itu tidak lagi dapat diakses selepas portal berita ini melaporkannya.

'Facebook ini macam kedai kopi'

Sementara itu, Sharil juga berkata, media perlu bertanggungjawab dan tidak perlu menghebahkan laporan berkaitan pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Kalau boleh jangan diberi peluang kepada mereka yang tidak bertanggungjawab ini diwar-warkan,” katanya.

“Jangan lupa, orang tulis di Facebook ini macam bercakap di kedai kopi, tapi (kemudian) dihebah-hebahkan.

“Ada setengah, tiga, empat, 10 like (saja), jadi kenapa kita war-warkan?