K'jaan PP bina semula bangunan pasar terbakar
Kerajaan Negeri Pulau Pinang menerusi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) akan membina semula bangunan pasar di Jalan Bunga Raya, Bukit Mertajam yang musnah dalam kebakaran awal pagi semalam.
Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata MPSP akan memperuntuk kira-kira RM10 juta bagi membina semula bangunan pasar itu, yang beroperasi sejak 55 tahun lepas.
"Sekiranya perlu, kerajaan negeri akan memberi bantuan kewangan. Kita juga akan memberikan kelulusan segera bagi pembinaan semula bangunan pasar terbakar itu," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke bangunan pasar dua tingkat itu hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 5 pagi semalam, pasar raya di tingkat atas bangunan pasar itu, yang menempatkan 420 gerai di kawasan seluas 0.528 hektar, musnah terbakar dan menyebabkan kerugian lebih RM1.5 juta.
Lim berkata keseluruhan bangunan itu akan dirobohkan kerana strukturnya sudah tidak selamat berikutan adanya rekahan besar yang boleh membahayakan.
Beliau berkata kerajaan negeri juga bersetuju memberi kebenaran kepada 243 peniaga yang terjejas akibat kebakaran itu untuk menjalankan perniagaan di kawasan berhampiran bangunan itu.
"Untuk tempoh peralihan sehingga bangunan baharu itu siap, (dalam masa) lebih kurang tiga tahun, kita beri kelulusan kepada peniaga berniaga di kawasan berhampiran kerana mereka lebih selesa berniaga di situ dan pelanggan juga sudah mengenali mereka.
"Ada juga cadangan untuk buka (pasar) di tempat lain iaitu di Jalan Betik tetapi tidak mendapat sokongan. Selain itu, MPSP juga terpaksa mengeluarkan belanja dua kali untuk membina struktur pasar di kawasan itu," katanya.
Bagaimanapun, Lim berharap peniaga dapat memberi kerjasama kepada MPSP khususnya dalam aspek penjagaan kebersihan dan pengurusan sisa buangan.
- Bernama

