versi terkini Kenyataan kerajaan sejak dua minggu lalu untuk mengetatkan undang-undang penerbitan, termasuk di Internet, "dikecam sekeras-kerasnya" oleh sekumpulan wartawan bebas hari ini.

Kumpulan Aktivis Media Independen (Kami) menyifatkan usaha itu sebagai langkah "menutup peluang orang ramai mendapatkan maklumat daripada pelbagai sumber" selepas kejayaan media bebas menerbitkan laporan yang benar tetapi jarang sekali diberikan tempat yang wajar serta adil dalam media arus perdana.

"Kenyataan-kenyataan (kerajaan) ini secara sangat jelas dan tanpa malu-malu adalah usaha menyekat wartawan bebas melaporkan isu-isu semasa yang jarang sekali mendapat liputan yang wajar dan adil dalam media arus perdana milik parti kerajaan atau di bawah kawalan ketat Kementerian Dalam Negeri (KDN)," kata jurucakapnya Ahmad Lutfi Othman.

Kami juga menyindir sebuah persatuan penulis yang menggesa kerajaan semalam agar mengetatkan lagi Akta Hasutan bagi mengawal wartawan tempatan yang bertugas di sini dengan agensi-agensi media luar negara.

"Seperti burung kakak tua yang nyanyuk, Persatuan Penulis Melaka (Penama) itu juga menggesa akta penerbitan, termasuk laman-laman web, dikawal dengan lebih ketat lagi," kata Ahmad Lutfi lagi, sambil menyifatkan kenyataan ketua Penama, Othman Muhammad, sebagai "lagak seorang mabuk."

Kami juga mendakwa kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad "tidak boleh diharapkan (lagi) untuk menghormati hak wartawan dan media bebas."

"Kerajaan beliau sangat serius untuk berbuat apa sahaja - termasuk menindas sisa-sisa kebebasan yang sangat sedikit ini - demi menjaga kekuasaannya yang semakin tergugat dan tidak popular," tambahnya.

Pada 16 April lalu, Dr Mahathir berkata akta penerbitan akan dipinda bagi menjadikannya lebih "relevan dan berkesan" kerana hukuman di bawah akta itu tidak sepadan dengan jenayah yang dilakukan sekarang.

"Saya menyebutkan Akta ini sebagai contoh kelemahan dalam undang-undang negara yang perlu ditangani bagi mengawal penyebaran fitnah melalui dunia teknologi maklumat yang canggih," kata Dr Mahathir. ([#1] Ketatkan akta media, kawal wartawan: Penulis Melaka [/#], 29 April)

Sementara itu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, dan Menteri Tenaga, Komunikasi dan Multimedia Datuk Amar Leo Moggie beberapa hari berikutnya membuat kenyataan yang hampir sama.

Petisyen wartawan arus perdana

Abdullah memberitahu, kementeriannya sedang mengkaji beberapa peruntukan undang-undang, termasuk akta penerbitan, berikutan perkembangan baru dalam bidang teknologi maklumat (IT) yang membolehkan berita disebarkan melalui Internet.

Leo pula menyeru masyarakat antarabangsa agar tidak membenarkan laman-laman web dari negara masing-masing "menyebarkan fitnah" ke negara lain.

Dalam kenyataannya kepada malaysiakini , Kami juga melahirkan "dukacita" kerana kenyataan-kenyataan kerajaan ini dikeluarkan dalam tempoh dua minggu menjelang sambutan Hari Kebebasan Akhbar Sedunia pada Khamis ini.

Mulai selepas pilihanraya umum November 1999, kerajaan telah menutup tiga penerbitan berbahasa Melayu - Detik , Eksklusif dan Al-Wasilah - selain menyerbu syarikat-syarikat penerbitan dan percetakan di Kuala Lumpur dan Selangor.

KDN juga merampas majalah, akhbar, kaset dan video cakera padat (VCD) yang didakwa diterbit dan diedarkan tanpa permit rasmi kementerian itu. Beberapa pengedar ditahan di balai polis siasatan antara beberapa jam sehingga hampir 24 jam.

Mulai awal tahun ini, kerajaan melambat-lambatkan pengedaran dua majalah luar negara, Asiaweek dan Far Eastern Economic Review antara dua hingga tiga minggu, selain pernah mengeluarkan kenyataan rasmi melarang wartawan akhbar web Malaysiakini.com daripada menghadiri majlis-majlis rasmi kerajaan.

Selain itu, seorang kakitangan syarikat Penerbitan Pemuda dibicarakan di mahkamah mulai November tahun lalu atas tuduhan mengedar bahan penerbitan tanpa permit.

Kerajaan Selangor pula melarang bahan-bahan terbitan pembangkang dan media bebas daripada diedarkan di premis-premis di bawah kawalan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

"Trend penindasan (seperti di atas) nampaknya tidak dapat dipulih lagi," kata jurucakap Kami lagi, dengan nada kecewa.

Dalam perkembangan berkaitan, Pengerusi DAP Lim Kit Siang menggesa kerajaan menghapuskan Akta Penerbitan dan Mesin Cetak, bukannya menimbangkan untuk memperluaskannya agar meliputi Internet.

Sempena hari kebebasan akhbar Khamis ini, beliau juga menggesa Menteri Dalam Negeri agar mengeluarkan kenyataan di Dewan Rakyat berhubung petisyen yang menggesa pemansuhan akta itu.

Petisyen itu yang disokong oleh hampir 1,000 wartawan arus perdana dihantar kepada Abdullah pada Mei, 1999 dan April tahun lalu.