Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli berkata beliau berharap tidak perlu lagi menjelaskan isu di belakang 'Serampang Kajang'  PKR.

Menurut beliau pihak yang masih tidak yakin dengan kenyataan beliau boleh bersetuju untuk tidak bersetuju kerana semua jawapan dari beliau selaku perancang perkara itu sudah diberikan.

"Jika saya tak mampu yakinkan anda selepas seminggu dan forum yang panjang ini, saya gagal yakinkan anda.

"Apa-apa soalan yang anda tanya hanya untuk 'serang' saya, jadi kita biarkan hal itu. Anda sudah ada jawapannya, anda tidak yakin, biar kami buat apa yang patut dilakukan," katanya dalam forum 'Serampang Kajang' di Subang semalam.

Rafizi memberi respons kepada soalan pengerusi Islamic Rennaisance Front (IRF) Dr Farouk Musa dalam sesi soal jawab forum tersebut yang mendakwa beliau sering 'menukar' jawapan berkaitan rancangan meletakkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Selangor.

Beliau berkata semua kenyataan yang dibuat beliau adalah selaras dan bertepatan dengan kenyataan pertama beliau, sehari selepas peletakan jawatan Lee Chin Cheh pada 27 Januari lalu.

"Kami mahu elak percakapan, sebab itu kami tunggu sehari (selepas peletakan jawatan Lee) untuk biar rakyat marah dulu dan keluar kenyataan pertama menerusi penulisan.

"Jika anda semak, semua yang saya katakan selari dengan kenyataan itu," katanya.

Farouk berkata Rafizi beberapa kali memberi 'sebab' berlainan dalam menerangkan mengenai 'Serampang Kajang' seperti Selangor merupakan platform ke Putrajaya, menyelesaikan masalah dalaman PKR dan hari ini pula mengenai dinamik politik yang berbeza.

Rafizi berkata semua alasan tersebut betul dan merupakan antara beberapa objektif yang boleh dicapai dengan langkah yang dilakukan PKR dan Anwar.

"Saya telah jelaskan faktor yang berkaitan. Jika anda tanya adakah masalah parti satu faktor, saya kata ya.... Bagaimanapun dinamik politik sejak tujuh bulan, inilah menyebabkan kami buat keputusan 'Serampang Kajang' ini," katanya.

Selepas forum berakhir Rafizi bagaimanapun berkata beliau akan terus meyakinkan rakyat khususnya pengundi Kajang untuk terus menyokong PKR dan Pakatan Rakyat di Selangor.