PRK Kajang: MCA dijangka serah tiga nama
MCA dijangka menyerahkan tiga nama untuk menjadi calon BN dalam pilihan raya kecil DUN Kajang yang akan berlangsung pada 23 Mac ini.
Dua daripadanya dikenalpasti Ketua Pemuda MCA Chong Sin Woon, dan bekas timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat, Datin Paduka Chew Mei Fun, lapor Berita Harian hari ini yang memetik sumber.
Menurut sumber itu, calon Pemuda MCA dijangka menjadi pilihan apabila mengambil kira faktor sokongan, situasi politik dan kehendak pengundi.
"Pemuda MCA sudah mula menggerakkan jentera untuk bertemu pengundi kawasan itu," sumber itu dipetik.
Laporan yang sama menyebut Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, BN akan bermesyuarat sebelum akhir Februari untuk membincangkan persiapan pilihan raya itu.
Tarikh mesyuarat itu akan ditentukan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, katanya.

