FAM sahkan kemenangan 3-0 JDT
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini sebulat suara mengesahkan kemenangan 3-0 kepada pasukan Johor Darul Takzim (JDT) dalam perlawanan menentang pasukan Terengganu T-Team yang ditangguhkan Sabtu lalu.
Kemenangan itu diberikan berdasarkan Para 4.12 15 B peraturan Liga Malaysia 2013-2016 merujuk kepada kesalahan pasukan T-Team yang menarik diri dan gagal bermain tanpa alasan yang kukuh.
Keputusan itu diumumkan Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin bersama Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) Datuk Seri Affandi Hamzah selesai mesyuarat dengan jawatankuasa tersebut.
"Merujuk kepada peraturan Liga Malaysia, laporan dan temuduga sejak pagi hingga petang ini, dengan ini JKPT memberikan kemenangan kepada JDT sebanyak 3-0 berdasarkan para 4.12 15 B dan layak ke suku akhir," kata Hamidin dalam sidang media di ibu pejabat FAM.
Diminta menjelas lanjut berhubung keputusan tersebut, Affandi pula berkata:
"Menurut pegawai perlawanan, perlawanan tersebut masih boleh diteruskan dan telah memberikan jaminan keselamatan kepada T-Team.
"Namun pasukan T-Team masih dengan asas yang mereka ada untuk menanguhkan perlawanan. Keputusan itu bukan dibuat pegawai perlawanan sebaliknya T-Team dan kita beri amaran keras supaya tidak mengulangi perkara ini," katanya.
Perlawanan pusingan kedua Piala FA 2014 antara JDT dan T-Team ditangguhkan selepas wakil kelab dari Terengganu itu enggan meneruskan perlawanan babak kedua atas faktor keselamatan.
Mereka mendakwa pemain importnya Evaldo Rodrigues dan Jurulatih Kecergasan Stefano Impagliazzo dikasari pengurusan tertinggi JDT ketika menuj ke bilik persalinan.
Siasatan lanjut
Insiden itu berlaku ketika mereka menuju ke bilik persalinan selepas tamat separuh masa pertama yang menyaksikan T-Team ketinggalan 2-1 ketika itu.
Berhubung insiden pergaduhan di terowong stadium itu, Affandi berkata sekretariat FAM akan meneruskan siasatan mengenainya dan seterusnya membawa perkara itu kepada Jawatankuasa Tatatertib (JKTT).
Menurutnya, polis juga akan meneruskan siasatan lanjut kepada setiap laporan kedua-dua pasukan tanpa sebarang kompromi akan membawa pihak tersebut ke JKTT termasuk presiden persatuan.
"Isu pergaduhan dalam terowong pula kita akan arahkan sekretariat kita untuk membuat siasatan lanjut.
"Sekiranya terdapat sebarang bukti kita akan lanjutkan perkara itu ke JKTT, apa yang berlaku belum ada titik noktah, kalau ada kes kita bawa ke JKTT.
"Kita tiada kompromi, kalau FAM kata perlu membawa presiden pasukan iaitu TMJ (Tengku Mahkota Johor) ke Jawatankuasa Tatatertib, kita akan buat," katanya.
Sebelum itu, mesyuarat JKPT itu bermula kira-kira 10 pagi di tingkat 4 bangunan FAM bersama semua ahli jawatankuasa dipengerusikan oleh Affandi.
Kemudian kira-kira jam 11:45 pagi, Ketua Jurulatih T-Team, Mohd Azrai Khor Abdullah dan pembantu jurulatih, Azlan Johar disoal siasat.
Selepas itu, siasatan dibuat ke atas Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Mohd Fahmy Yahya dan Ketua Jurulatih JDT Cesar Ferrando Jimenez.

