S'gor mula projek rumah mampu milik
Kerajaan Selangor akan memulakan projek 'Rumah Selangorku' - perumahan mampu milik untuk memberi peluang rakyat negeri itu, khususnya mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana, memiliki rumah kediaman.
Ia akan dilaksanakan menerusi Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS), kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam satu kenyataan.
Majlis Pecah Tanah bagi projek perintis itu akan diadakan pada 22 Februari dan pembinaannya dijangka dimulakan dalam tempoh enam bulan kemudian selepas kelulusan pembangunan serta perlantikan kontraktor selesai, katanya.
Rumah Selangorku akan dibangunkan di sebahagian tanah milik Menteri Besar Incorporated (MBI) seluas 28 hektar di Sungai Sering, Hulu
Klang, ekoran permintaan untuk rumah mampu milik yang amat tinggi di kawasan berkenaan.
"Lebih 2,000 unit rumah akan dibina menerusi projek perintis ini yang terdiri daripada tiga jenis keluasan iaitu 800 kaki persegi, 900 kaki persegi dan 1,000 kaki persegi.
"Projek Perintis Rumah Selangorku ini mengandungi lapan blok yang akan dibina dalam empat fasa dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh enam tahun setengah," kata menteri besar.
Kos keseluruhan Projek Perintis Rumah Selangorku, katanya, dianggarkan RM591 juta termasuk kos membina jalan keluar masuk, menaik taraf surau menjadi masjid, membina sistem pembentungan dan naik taraf sistem perpaipan.
"Pembinaan Rumah Selangorku ini akan menggunapakai kaedah Industrial Building System (Pre-Fabricated–IBS) atau pasang siap bagi mempercepatkan tempoh pembinaan berbanding kaedah konvensional.
"Projek ini adalah sebahagian daripada 5,000 unit rumah mampu milik berkonsepkan pasang-siap yang disasarkan dibina bagi tempoh lima tahun sehingga 2018 daripada 35,000 unit yang disasarkan keseluruhannya.
"Kerajaan Selangor memperuntukkan RM100 juta menggunakan rizab tunai negeri bagi melaksanakan projek ini seperti yang telah diumumkan pada pembentangan Belanjawan 2014," katanya sambil menambah bahawa peruntukkan itu sebagai Dana Pusingan untuk membina lebih banyak rumah mampu milik kepada rakyat Selangor.
Pada masa yang sama, kata menteri besar, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) akan terus melaksanakan tanggungjawab sosial dengan membina rumah mampu milik menerusi Program Pemilikan Ruman Idaman Negeri Selangor atau IDAMAN PKNS.
"Projek perumahan mampu milik yang telah disiapkan PKNS ialah Bukit Botak di Selayang dan Seksyen 3, Bandar Baru Bangi manakala beberapa projek lagi dalam pelaksanaan dan perancangan.
"Projek Perumahan Mampu Milik adalah hasil dasar jimat-cermat serta perbelanjaan berhemah yang diamalkan kerajaan Selangor dan hasil penjimatan ini diagihkan semula kepada rakyat selaras agenda Hasil Negeri Untuk Rakyat," katanya.

