Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Susulan penamatan kontrak 19 kakitangan anak syarikat PKNS Isnin lalu, tumpuan terhadap anak syarikatnya PKNS Holdings Sdn Bhd (PHSB) bertambah.

PHSB ditubuhkan dengan salah satu fungsi utama bagi membantu membekalkan 'talent' atau individu yang pakar dalam memastikan PKNS mampu bersaing dengan syarikat swasta.

Seorang bekas kakitangan PHSB tampil kepada Malaysiakini menyatakan fungsi sebenar anak syarikat itu yang melengkapkan arah baru PKNS selepas Othman Omar dilantik Pengurus Besar pada 1 Februari 2009.

Beliau yang pernah bersama PHSB dan PKNS di salah satu bahagian di perbadanan itu sebelum meninggalkan syarikat itu tahun lalu, menjelaskan bahawa PHSB bersifat membantu PKNS menjana keuntungan mereka.

Ini kerana antara perkara pertama yang dilakukan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ialah meminta PKNS bersaing di lapangan terbuka dan tanpa kelebihan seperti PKNS di zaman pentadbiran Umno-BN di Selangor.

"Beza PKNS dan PHSB ialah PKNS dijaga oleh enakmen. Jadi ada tanggungjawab seperti memaju ekonomi dan menjadi enjin pertumbuhan Selangor serta membina Rumah Mampu Milik.

"Kelebihan PKNS sebelum ini ialah 'landbank' yang besar tapi sejak 2008-2009, mereka perlu membayar harga dan premium tanah seperti syarikat swasta lain.

"Jadi PKNS perlu bersaing dan mendapatkan 'talent' dari bidang swasta dan mereka ini dibayar pada kadar pasaran (swasta) dan bukan skala kerajaan," kata sumber itu.

Menurut beliau semua pekerja kontrak yang diambil PHSB berpengalaman luas dalam bidang masing-masing dan telahpun berjaya dalam kerjaya profesional.

Kontrak tak dapat keistimewaan

Malah sumber sama turut mendakwa tidak logik jika mengatakan kakitangan kontrak dari PHSB merugikan PKNS kerana mereka berjaya membantu syarikat GLC itu mendapat keuntungan sehingga RM400 juta setahun.

"Dalam tahun 2011, saya ingat keuntungan tertinggi dalam sejarah PKNS di bawah Othman membolehkan kakitangan PKNS mendapat bonus tujuh bulan gaji.

"Perlu ingat hanya kakitangan tetap mendapat bonus, yang kontrak hanya mendapat bonus yang nominal (kecil)," kata beliau.

Malah kakitangan kontrak PHSB tidak layak mendapat pelbagai elaun COLA, Perumahan, Kritikal termasuk imbuhan kesihatan tanpa had seperti yang diterima oleh kakitangan PKNS.

Selasa lalu, bekas ketua bahagian sumber manusia kumpulan PKNS, Rina Sarif yang turut ditamatkan kontrak berkata kesemua mereka masih mempunyai kontrak antara enam bulan hingga dua tahun yang ditamatkan begitu sahaja.

"Saya jadi HR (Sumber Manusia) selama 18 tahun. Mana ada kontrak yang ditamatkan macam ni. Ini bukan notis pemecatan (termination) 24 jam. Ini serta-merta.

"Kontrak sepatutnya jaga hidup (livelihood) pekerja. Mana ada kontrak begini," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Khamis lalu, Khalid menafikan bertindak kejam dengan menamatkan perkhidmatan pekerja kontrak itu kerana ramai antara mereka mendapat pampasan yang tinggi.

"Kalau 'heartless' (kejam) tak bagi dua bulan. Setengahnya dapat lebih RM60,000," katanya kepada dalam satu sidang media.

Khalid (kanan) dalam kenyataan medianya memberi alasan penamatan kontrak dapat menjimatkan RM7 juta wang PKNS dan pertindihan jawatan antara kakitangan tetap dan kontrak.

Kumpulan pekerja yang ditamatkan kontrak mereka Isnin lalu pula menyanggah fakta ini dan mendakwa peruntukan gaji mereka hanyalah RM 2 juta pada tahun 2013.

"Sebagai perbandingan, gaji kakitangan PKNS adalah kira-kira RM70 juta dalam tempoh sama! Kos 'Overhead' PKNS untuk 2013 adalah lebih RM150 juta!

"Adakah penjimatan dibuat di situ sebelum meletakkan kakitangan yang setia bersama keluarga mereka dalam kesusahan?" kata kumpulan yang menggelarkan diri mereka PKNS nineteen (19) diketuai bekas Pengurus Kanan Pemasaran PHSB, Dr Alif Aiman Abdullah (bawah kanan) dalam kenyataan semalam.

Timbalan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Abdullah Sani Abdul Hamid (kiri) yang merupakan antara pemimpin pertama bertemu kumpulan itu turut melabel ia sebagai ' tindakan zalim' .

"Ini pengkhianatan yang cukup menjijikkan dan tak boleh diterima. Inilah sebab Khalid wajib ditukar ganti," kata Abdullah yang juga MP Kuala Langat.

ADS