Timbalan Presiden MCA Datuk Wee Ka Siong harus menawarkan dirinya sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang kerana beliau adalah calon paling sesuai untuk mencabar ketua pembangkang, cadang Tan Sri Robert Phang.

    

Pengerusi Yayasan Kebajikan Sosial itu berkata Wee dianggap sebagai calon "heavyweight" dan pemimpin kebangsaan bagi MCA kerana semasa berkhidmat sebagai timbalan menteri pendidikan, Wee telah memberi sumbangan untuk memajukan pendidikan sekolah Cina.

    

"Semasa berkhidmat dengan kerajaan, Wee telah membantu untuk membina semula sekolah rendah Cina di Kajang.

    

"Sudah tentu, beliau mempunyai peluang lebih baik untuk memenangi hati penduduk di Kajang," kata beliau dalam kenyataan semalam.

    

Phang berkata faktor itu selain sokongan masyarakat Melayu yang menjadi  penyokong tegar Umno akan memberi kelebihan kepada Wee apabila menentang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketika dihubungi Bernama, Phang berkata beliau (Phang) adalah seorang yang berterus-terang dan beliau memang berpendapat Wee adalah calon terbaik untuk bertanding kerusi itu.

    

"Jika hitam saya akan berkata hitam, kalau ada harapan kita cakap ada harapan," katanya.

    

Kerusi DUN Kajang di Selangor kosong berikutan peletakan jawatan Lee Chin Cheh dari Parti Keadilan Rakyat pada 27 Jan.

    

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 23 Mac sebagai hari mengundi dan 11 Mac sebagai hari penamaan calon.

    

Sebelum itu, MCA Hulu Langat dilaporkan telah mencadangkan tiga nama termasuk Ketua Pemuda MCA Hulu Langat Pang Wai Hoong; Ketua Wanita Hulu Langat Loh Lai Kuen dan calon yang mewakili BN pada pilihan raya umum ke-13, Lee Ban Seng.

    

Dua lagi nama yang dilaporkan disenaraikan ialah naib presiden MCA Datuk Chew Mei Fun dan Ketua Pemuda Chong Sin Woon.

    

Wee tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen.

    

-Bernama