GERAMM: KDN tak belajar dari kemarahan rakyat
Gerakan Media Marah (GERAMM) mengecam tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menarik balik pemberian permit penerbitan FZ Daily kepada The Edge Communications Sdn Bhd yang belum pun sempat memasuki pasaran.
Menurut pemiliknya Datuk Tong Kooi Ong, kelulusan itu ditarik balik beberapa jam selepas mahkamah membenarkan memulakan prosiding terhadap KDN yang menangguhkan permitnya.
GERAMM, perkumpulan longgar wartawan, itu menganggap tindakan KDN itu amat keterlaluan, apatah lagi dikatakan tiada sebarang sebab dinyatakan berhubung keputusan itu.
"KDN juga nampaknya tidak prihatin isu-isu kebebasan media di negara ini dan seolah-olah tidak belajar daripada kemarahan rakyat terhadap cengkaman kepada kebebasan media.
"Selain itu, dalam kes FZ Daily, GERAMM berpendapat kewibawaan The Edge Communications sebagai penerbit tidak harus dipertikaikan memandangkan ia sudah lama bertapak dalam industri ini dan berjaya mendapat kepercayaan rakyat," kata GERAMM.
Kumpulan itu menegaskan pembatalan permit akhbar FZ Daily bukan perkara baru kerana terdapat siri pencabulan dalam isu sama yang melibatkan Malaysiakini , The Heat (2013), Suara Keadilan (2010) dan Harakah (2009).
"GERAMM ingin mengingatkan kerajaan terhadap keputusan kes Malaysiakini lawan KDN yang dianggap sebagai duluan (precedence) kepada kes berkaitan permit penerbitan di Malaysia.
"Mahkamah Rayuan pada 30 Oktober 2013 sebulat suara menolak rayuan KDN terhadap Malaysiakini dalam kes permohonan permit penerbitan yang ditolaknya, sekali gus bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum itu," kata GERAMM.
Kumpulan itu menyifatkan keputusan mahkamah itu sebagai penanda aras itu dalam industri media di negara ini bahawa permit penerbitan sebagai hak yang dijamin Perlembagaan Persekutuan dan "bukan keistimewaan yang boleh dirunding-runding oleh pihak kerajaan".
Sehubungan itu, GERAMM menyeru rakyat dan pengamal media tanpa mengira organisasi - yang cintakan kebebasan - supaya menyarung kembali "baju merah" sebagai bantahan terhadap kerajaan dan sokongan kepada FZ Daily seperti kempen mereka sewaktu The Heat digantung penerbitannya.
Mereka mencadangkan kempen itu diadakan setiap Rabu (hari ini) - bersempena dengan tarikh pembatalan permit FZ Daily yang dibuat pada 5 Februari lalu.
"Kami juga mencadangkan kempen di Facebook dan Twitter dimulakan kembali menggunakan hashtag #FZDaily. Maklumat lanjut kempen GERAMM di Internet akan diumumkan kemudian," kata kenyataan itu lagi.

