Polis tubuh badan khas siasat cubaan bunuh MP Myanmar
Polis Kuala Lumpur menubuhkan sebuah badan khas bagi menyiasat kes cubaan membunuh dengan menembak anggota Parlimen dari Myanmar Dr Aye Maung di Bukit Bintang di ibunegara Rabu lepas.
Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur ACP Khairi Ahrasa berkata badan khas itu yang diketuainya sendiri ditubuh bagi menyiasat kes itu yang dilihatnya mempunyai kaitan dengan masalah politik di Myanmar.
Beliau berkata badan itu sedang menjalankan siasatan terhadap beberapa bukti termasuk kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di sepanjang perjalanan Aye Maung bersama-sama Pengerusi Parti Arakan Liga Demokrasi, Aye Thor Aung dan tiga lagi warga Myanmar dalam kejadian 11.30 malam itu.
"Kita juga sedang siasat untuk melihat sama ada kes cubaan tembak ini ada kaitan dengan kes bunuh yang berlaku melibatkan warga Myanmar di Ampang sehari sebelum kejadian itu," katanya dalam sidang media di ibunegara hari ini.
Beliau berkata polis juga sedang mendapatkan bantuan pihak kedutaan Myanmar untuk membantu siasatan kes itu.
Khairi berkata empat daripada lima warga Myanmar yang berada di dalam kereta itu telah pulang ke negara mereka sehari selepas kejadian dan seorang lagi yang memegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) masih berada di negara ini.
Dalam kejadian itu, dua lelaki bermotosikal dipercayai bersenjatakan pistol melepaskan enam das tembakan ke arah kereta dinaiki Aye Maung di Jalan Alor, Bukit Bintang, ketika mereka dikatakan baru meninggalkan Plaza Low Yat.
Aye Maung merupakan pengerusi sebuah suruhanjaya yang ditubuhkan kerajaan Myanmar untuk menyiasat insiden rusuhan etnik di Rakhine.
Dalam kes berasingan, Khairi berkata polis akan memanggil anggota Parlimen Seputeh Teresa Kok dalam masa terdekat bagi menyiasat klip video 'Onederful Malaysia CNY 2014' selepas tiga pelakon dalam klip video itu memberi keterangan mereka semalam di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.
Selain Kok, polis juga akan memanggil beberapa individu yang membuat laporan polis berhubung klip video itu bagi melihat apakah sentimen yang dikatakan mendatangkan kegusaran kepada rakyat negara ini.
Khairi berkata apabila selesai siasatan itu kelak, pihaknya akan merujuk kepada Peguam Negara untuk tindakan lanjut.
Dalam klip video berdurasi hampir 12 minit itu, Kok berlakon sebagai pengacara yang menemu ramah tiga tetamu mengenai Feng Shui pada Tahun Baru Cina baru-baru ini dan mereka mengeluarkan kenyataan menyindir, antaranya mengenai pemimpin negara, sistem pendidikan dan isu keselamatan di Sabah.
- Bernama

