Berita Malaysiakini

TPM terima Bintang Kenyalang Sarawak

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abang Muhammad  Salahuddin Abang Barieng hari ini mengurniakan Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak kepada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pengurniaan itu yang berlangsung dalam satu istiadat di Astana Negeri di Kuching adalah bersempena ulang tahun ke-92 Yang Dipertua Negeri yang disambut pada 14 Sept tahun lepas.

Darjah itu membawa gelaran 'Datuk Patinggi Bintang Kenyalang'.

Turut hadir isteri Yang Dipertua Negeri, Toh Puan Norkiah. Hadir sama Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan isteri Puan Sri Ragad Kurdi Taib.

Tetamu lain ialah Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Amar Muhammad Asfia Awang Nassar, Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Morshidi Ghani, Setiausaha Persekutuan Datuk Yahaya Basimin dan barisan kabinet negeri.

- Bernama