Upacara 'Chavez Pernah di Sini' di KL
Kedutaan Venezuela di Kuala Lumpur akan mengadakan upacara dipanggil 'Por Aqui Paso Chavez' (Chavez Pernah di Sini) bagi memperingati ulang tahun pertama kematian Presiden Hugo Chavez.
Diadakan di beberapa lokasi di Kuala Lumpur dari 27 Feb hingga 9 Mac, upacara itu untuk memberi gambaran lebih dekat mengenai mendiang Chavez dan memperingati kematiannya selepas bertarung dengan kanser.
Beliau meninggal dunia pada 5 Mac, 2013.
Dalam satu kenyataan, misi itu berkata upacara itu akan bermula dengan satu seminar akademik tentang "Kerjasama Selatan-selatan dari Perspektif Kerajaan Bolivarian" di Pusat Kajian Amerika Latin di Universiti Kebangsaan Malaysia pada 27 Feb.
Satu lagi acara penting ialah festival gastronomik dan budaya diberi nama 'Venezuela Vive' di La Boca Latino Bar di Pavilion Kuala Lumpur dari 3 hingga 9 Mac.
Kedutaan itu juga akan menganjurkan pertandingan futsal sehari dipanggil 'Piala Hugo Chavez' di Ampang Sports Planet pada 9 Mac.
- Bernama

