WAWANCARA Walaupun sudah bersara sebagai presiden MCA pada tahun lepas, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata beliau tidak akan berhenti mengkritik pengganti-penggantinya selagi beliau boleh.
 
Menurutnya, mereka yang menyangka beliau meninggalkan politik sepenuhnya selepas berkecimpung dalam kepimpinan MCA selama 30 tahun adalah silap. 
 
Dengan kedudukannya sebagai anggota jawatankuasa kerja pusat, beliau berikrar akan sekali sekala menegur MCA terutamanya apabila parti itu dilihat 'tersilap langkah'.
 
Contohnya adalah apabila pemimpin-pemimpin MCA baru-baru ini cuba melobi sokongan untuk kembali berada di dalam Kabinet - satu cadangan yang bertentangan dengan ketetapan yang dipersetujui MCA sewaktu kepimpinannya.
 
"Saya cuma kata saya tak akan mempertahankan jawatan presiden, dan saya bertanding sebagai anggota jawatankuasa kerja pusat agar saya boleh menyumbang dalam apa-apa cara sekali pun.
 
"Bersara ini bukan maknanya dah mati otak. Saya sayangkan parti, saya masih cakna dengan hal ehwal parti..separuh daripada hidup saya dihabiskan dalam MCA," kata Chua yang genap 67 tahun, tahun ini.
 
Bercakap pada satu wawancara dengan Malaysiakini dan The Malaysian Insider di sebuah hotel di Petaling Jaya, Chua menafikan kata-katanya tajam kerana beliau mahu mempromosikan anaknya, Datuk Chua Tee Yong.