Sebilangan penoreh getah dan pekebun kecil di Baling sengsara akibat penurunan harga komoditi itu di pasaran, dakwa Anggota Dewan Undangan Negeri Kuala Ketil, Md Zuki Yusof.

Menurutnya, ia menjejaskan pendapatan mereka ditambah pula dengan kenaikan harga barang-barang keperluan asas.

Perkara itu kata Md Zuki, mendorong sebilangan penoreh untuk berhimpun pada hari 10 Februari lalu di Simpang Tiga Kejai, Kuala Kertil pada kira-kira jam 11 pagi hingga 12 tengahari bagi menuntut campur tangan kerajaan untuk mengawal perkara itu.

Jelasnya, harga getah yang kini RM2.40 sekilogram berbanding RM3 sekilogram pada awal tahun 2014 menjejaskan kehidupan sebahagian besar pekebun getah di sekitar Baling.

"Sekarang murah RM2.40, harga ikan di pasar pun RM4.00 sekilo jadi macamana?

"Lebih-lebih lagi sekarang musim kemarau, daun luruh, terdedah pada pancaran matahari jadi susu getah cepat beku menyebabkan hasilnya sedikit dan harga getah pula murah.

"Mereka bimbang kalau harga (getah) turun sampai RM2 perit lagilah rasanya," katanya.

Sementara itu, Pemuda PAS Malaysia menerusi setiausahanya Mohd Nasaie Ismail, turut menyatakan perkara yang sama.

"Sudah ada pekebun getah di beberapa daerah di Kedah dan negeri-negeri lain yang tidak mampu membeli lauk pauk untuk sajian harian disebabkan hasil jualan getah yang merosot teruk.

"Suasana ini sangat serius dan memerlukan tindakan drastik daripada pihak kerajaan untuk menanganinya," katanya dalam kenyataan.