K'jaan nafi kebebasan akhbar M'sia merosot
Kerajaan menafikan kemerosotan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Akhbar Dunia 2014 seperti dinyatakan dalam laporan tahunan Wartawan Tanpa Sempadan (RSF), Paris semalam.
Menurut Jurucakap Putrajaya, media di Malaysia sama ada portal mahupun percetakan telah diberikan lebih kebebasan berbanding sebelum ini.
Kenyataan itu juga menyebut, media atas kini lebih bebas dan undang-undang berkaitan pelesenan juga telah dilonggarkan.
“Setiap pengunjung yang melayari berita-berita Malaysia, laman web atau blog politik boleh melihat sendiri bagaimana media dalam talian mendapat kebebasan.
"Lebih-lebih lagi, di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, undang-undang pelesenan media cetak telah menjadi lebih longgar,” menurut kenyataan itu.
Dalam laporan terbaru RSF, kedudukan Malaysia merosot ke tahap paling buruk, di tangga 147 daripada 180 negara, merosot dua anak tangga lagi berbanding tahun sebelumnya (145).
Kedudukan itu meletakkannya berada di bawah negara-negara lain yang kurang membangun seperti Bangladesh (146), Myanmar (145) dan Cambodia (144).

