Adenan akan buka mulut petang ini
Tan Sri Adenan Satem akan mengadakan sidang media di Kuching hari ini selepas dinamakan sebagai Ketua Menteri Sarawak yang kelima, kelmarin.
Sidang media itu diadakan di pejabatnya di Yayasan Sarawak, Jalan Tengah, di Kuching pada pukul 4 petang, menurut kenyataan Jabatan Penerangan Negeri semalam.
Menariknya dalam hebahan 'Nota Kepadang Pengarang' oleh jabatan itu, turut dinyatakan: 'Media boleh tanya apa sahaja, kata beliau (Adenan)."
Malam tadi, Adenan, iaitu Menteri di Pejabat Ketua Menteri (Tugas-tugas Khas), menjadi tumpuan ramai ketika menghadiri majlis makan malam dan dialog bersama Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, merangkap Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Malaysia bersama anggota-anggota parti komponen BN Sarawak.
Majlis turut dihadiri Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud, merangkap Pengerusi BN Sarawak.
Mereka yang hadir tidak melepaskan peluang mengambil gambar bersama Adenan, selain ucapan tahniah tidak putus-putus diucapkan kepada beliau.
Selepas jamuan makan malam, semua yang hadir kemudiannya menghadiri majlis dialog yang diadakan secara tertutup.
- Bernama

