Kebakaran hutan landa 300 hektar di Dungun
Keadaan cuaca yang panas terik berserta tiupan angin menyebabkan kebakaran hutan kini merebak menjadikan kira-kira 300 hektar kawasan hutan tebal di kaki Bukit Gedut, tidak jauh dari Kampung Tok Kah, Dungun terbakar.
Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri, Penolong Penguasa Bomba Mohd Zailani Abdullah berkata, sehingga lewat petang ini, pihaknya masih mengesan kebakaran merebak ke kawasan baharu yang berdekatan.
Sebelum ini kebakaran hutan paya bakau di Tok Kah yang berlaku sejak 26 Jan lalu melibatkan kawasan seluas 16 hektar.
"Kami terpaksa berpecah dua kumpulan bagi mengawal kebakaran di kawasan baharu itu daripada terus berlarutan serta menjadi semakin parah.
"Pihak kami akan terus berusaha memadam kebakaran itu dan sekiranya ia semakin merebak, jumlah anggota bantuan kemungkinan terpaksa ditambah," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kebakaran semalam.
Mohd Zailani berkata beliau percaya kebakaran yang berlaku di kawasan baru terbabit berpunca daripada percikan bara api yang berterbangan dibawa angin ke kawasan itu.
"Pasukan pemadam kebakaran juga berdepan kesukaran memasuki kawasan itu berikutan tiada akses jalan serta keadaan sekeliling hutan yang tebal," katanya.
Pihak bomba sebelum ini menjangka kebakaran hutan di Dungun itu dapat dikawal sepenuhnya dalam masa seminggu namun disebabkan cuaca panas berpanjangan, pihaknya terpaksa mengambil masa lebih lama untuk mengawal kebakaran daripada merebak ke tempat lain.
"Keadaan cuaca seperti ini juga mendorong kebakaran hutan di Dungun itu merebak daripada 20 hektar meningkat berganda kepada 300 hektar sehingga lewat petang ini dan kami masih giat memastikan kebakaran itu tidak merebak," katanya.
Beliau berkata setakat ini 30 anggota bomba bersama 10 anggota dari Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) sedang berusaha memadam kebakaran yang makin merebak ke kawasan lain.
Justeru Mohd Zailani berkata, pihaknya akan terus berkampung di kawasan kebakaran terbabit dan menjangka dapat mengawal keseluruhan kawasan terbakar itu akhir bulan ini.
Kebakaran itu juga menyebabkan asap tebal kembali menyelubungi kawasan bandar Dungun.
- Bernama

