Masa perluas pertahanan M'sia-Singapura
Menteri Pertahanan Malaysia Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini berkata masanya adalah sesuai sekarang bagi Malaysia dan Singapura mempertingkatkan lagi hubungan keselamatan dan pertahanan antara kedua-dua buah negara.
Beliau menyifatkan hubungan Singapura-Malaysia sebagai cemerlang sepanjang masa tetapi dalam sektor-sektor tertentu.
"Ini adalah sektor-sektor neutral seperti pendidikan dan ekonomi. Saya rasa saya hendak memperluaskannya lagi meliputi keselamatan dan pertahanan.
"Saya rasa masanya adalah sesuai kerana adanya kesungguhan politik dan tumpuan dunia kepada rantau ini membuka peluang kepada kita untuk menerokainya", kata beliau kepada pemberita di Singapura.
Terdahulu, Hishammuddin ( atas ) menghadiri upacara memperingati jasa wira negara semasa Perang Dunia Kedua, Lt Adnan Saidi dan pasukannya dari Rejimen Askar Melayu yang terkorban dalam pertempuran di Bukit Candu ketika mempertahankan Singapura daripada serangan tentera Jepun 71 tahun lalu.
Turut hadir Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura Datuk Husni Zai Yaacob.
Hishammuddin, yang juga Pemangku Menteri Pengangkutan, berada di republik ini untuk lawatan empat hari bagi menghadiri Pertunjukan Udara Singapura atas undangan rakan sejawatannya Dr Ng Eng Hen.
"Justeru, adalah penting Malaysia mengemudikan kapal di perairan dengan berhati-hati. Dalam konteks ekonomi, saya berpendapat hubungan dan kerjasama kita amatlah baik, sekarang kita perlu memperluaskannya meliputi sektor lain seperti pertahanan dan keselamatan dan dalam hubungan ini perkongsian maklumat adalah penting.
- Bernama

