SPR: PRK Balingian, Kajang dijangka serentak
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bersedia mengadakan pilihan raya kecil DUN Balingian di Sarawak dan Kajang di Selangor serentak pada 23 Mac depan, bergantung kepada kekosongan kerusi penyandang Tan Sri Taib Mahmud.
Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz berkata tarikh kekosongan kerusi Balingian penting untuk membolehkan badan itu membuat pembersihan daftar pemilih di bahagian pilihan raya itu antaranya mengeluarkan nama pengundi meninggal dunia dan dilucut taraf warganegara, lapor Utusan Malaysia.
"Macam di Kajang, dia (Lee Chin Cheh) letak jawatan pada 27 Januari dan kita bersihkan daftar pemilih di situ sehingga setakat 26 Januari.
"Selepas itu SPR mengadakan mesyuarat khas pada 5 Februari itupu, sudah masuk hari kesembilan dalam tempoh 10 hari yang ditetapkan oleh peraturan SPR selepas kekosongan kerusi.
"Justeru dalam isu Balingian ini, SPR cuma khuatir masa terlalu suntuk untuk membersihkan daftar pemilih dan mengadakan mesyuarat khas menetapkan tarikh hari penamaan calon dan pengundian.
"Bagaimanapun secara peribadi, saya suka PRK Balingian dan Kajang diadakan serentak, jimat masa dan tidak berpanjangan kempen pilihan raya," katanya seperti dilapor akhbar itu hari ini.
Bagaimanapun, laporan harian itu juga menyebut kerusi Balingian dijangka kosong pada tarikh berkuatkuasanya perletakkan Tan Sri Abdul Taib Mahmud pada 28 Febuari nanti.

