Biografi Anwar tidak dijual di MPH
Biografi terbaru Ketua Pembangkang Datuk Anwar Ibrahim 'The Evolution of a Muslim Democract: The Life of Malaysia's Anwar Ibrahim' , tidak dijual di rangkaian kedai buku MPH, milik penuh ahli perniagaan, Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary.
MPH Bookstores Malaysia mengesahkan kepada
Malaysiakini
bahawa biografi yang diterbitkan oleh Peter Lang International Academic Publisher, tidak dijual di rangkaian kedai bukunya di seluruh negara.
Bagaimanapun, ia tidak menjelaskan sebab-sebab di sebalik ketiadaan buku tersebut di rangkaian kedainya.
Tinjauan mendapati buku tersebut dijual kedai-kedai buku lain, seperti Borders dan Kinokuniya.
Dalam responnya melalui emel kepada Malaysiakini, MPH berkata pihaknya tidak mempunyai maklumat mengenai bila buku itu boleh diperolehi di rangkaian kedainya.
Buku itu ditulis oleh Charles Allers, seorang ahli akademik dari Amerika Syarikat yang memegang ijazah kedoktoran dalam bidang pengajian Islam.
Buku setebal 345 halaman itu diterbitkan pada 18 Oktober tahun lalu, dan boleh didapati di Malaysia sejak Januari tahun ini.
Syed Mokhtar memiliki Kumpulan MPH melalui anaknya Jalinan Inspirasi Sdn Bhd pada 2002, dan mengekalkan pegangan 100 peratus dalam syarikat tersebut.
Laporan tambahan oleh Farah Noor Samat.

