ANALISIS Walaupun pemerintahan Tan Sri Abdul Taib Mahmud sebagai ketua menteri Sarawak selama 33 tahun akan berakhir hujung bulan ini, namun pengaruh politiknya masih jauh daripada berakhir.

Jika Taib dilantik sebagai yang dipertua negeri, tiada had masa

selama mana beliau boleh memegang jawatan itu - selagi tempoh penggal empat tahun - diperbaharui berulang kali oleh ketua menteri (KM) Sarawak, dengan restu Yang di-Pertuan Agong.

Dalam kes ini, nampaknya pentingnya KM seorang yang disenangi Taib secara peribadi, dan pemilihan bekas adik iparnya, Adenan Satem, sebagai KM baru boleh menjamin Taib memegang jawatan yang dipertua negeri sepanjang hayat.

Tun Ahmad Zaidi Adruce menjadi yang dipertua negeri Sarawak kelima selama 15 tahun sehingga meninggal dunia pada 2001. Taib, yang kini beruaia 78 tahun mungkin mengikuti jejak langkahnya.

"Walaupun terdapat budi bicara Yang di-Pertuan Agong (dalam pelantikan yang dipertua negeri) selepas berunding dengan ketua menteri, namun amalannya ialah seri paduka hanya melakukan apa yang ahli-ahli politik - di pusat (persekutuan) dan negeri - kata," tegas pakar perlembagaan, Aziz Bari kepada Malaysiakini.

"Selepas 33 tahun Taib menerajui Sarawak, beliau boleh melakukan

perkara yang sama dari tempat yang berbeza," katanya.

Ini bermakna Taib mungkin kebal daripada pendakwaan sekiranya pihak berkuasa membuat keputusan untuk bertindak terhadap dakwaan rasuah dan penyalahgunaan kuasa terhadap orang kuat Sarawak itu.

Beliau kini sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Abdul Aziz juga berkata, Taib akan menjadi lebih kuat sebagai yang dipertua negeri berbanding dengan bapa saudaranya, Tun Abdul Rahman Ya'kub, yang juga mengambil alih jawatan yang dipertua negeri selepas melepaskan jawatan ketua menteri kepada Taib pada 1981.

Walaupun mempengaruhi pentadbiran negeri sebagai yang dipertua negeri selama empat tahun, didahului dengan sebelas tahun sebagai ketua menteri, Abdul Rahman akhirnya bersara pada 1986, atas alasan kesihatan.

"Tetapi kita tidak tahu, Abdul Rahman fikir beliau dapat meneruskan perniagaannya tetapi entah bagaimana anak saudara itu mendapat idea yang berbeza dan Taib membuat kejutan (terhadapnya), walaupun mereka kini sudah berbaik semula," kata Abdul Aziz, merujuk kepada perselisihan di antara Taib dan Abdul Rahman yang memuncak dengan peristiwa Ming Court pada 1987.

Dalam persengketaan antara bapa saudara dan anak saudara itu, antara lain, berkaitan konsesi balak untuk kroni masing-masing, Taib terselamat daripada usul tidak percaya, dengan memanggil pilihan raya megejut dan berjaya mengekalkan kuasanya serta mengukuhkan cengkamannya di Sarawak.

Yang dipertua negeri boleh dipecat dengan undi majoriti dua pertiga di Dewan Undangan Negeri Sarawak, tetapi ini tidak pernah berlaku sebelum ini.

[Baca berita penuh]