Kabinet India meluluskan penubuhan dua kemudahan perkilangan semikonduktor fabrikasi wafer di negara ini, dengan satu daripadanya melibatkan Silterra Malaysia.

Mengikut kelulusan, unit-unit ini akan ditubuhkan oleh dua konsortium perniagaan, lapor The Indian Express yang memetik kenyataan rasmi.

Menurut laporan itu, konsortium pertama melibatkan Jaiprakash Associates (India) dengan IBM (US) dan Menara Semiconductor (Israel) sebagai rakan kongsi.

Kos untuk kemudahan ini yang terletak di Yamuna Expressway, ditambat pada  Rs34,399 crore (US$5.52 bilion).

Konsortium kedua pula membabitkan usaha sama antara HSMC Technologies India dan  ST Microelectronics serta Silterra Malaysia dengan kos ditambat pada Rs29,013 crore (US$4.66 bilion) dan beroperasi di Gujarat.

Kemudahan yang dicadangkan ini akan mewujudkan kira-kira 22,000 peluang pekerjaan secara langsung dan 100,000 pekerjaan tidak langsung.

Ia melibatkan pelbagai insentif cukai, termasuk pinjaman tanpa faedah sebanyak Rs29.013 crore (US$1.6 bilion), katanya.

Unit-unit akan mendapat pelbagai insentif. Ini termasuk subsidi 25 peratus ke atas perbelanjaan modal dan pembayaran balik cukai yang diterima menerusi  Dasar Skim Insentif Khas Diubah Suai (M-SIPS).

Projek ini juga memperoleh pengecualian asas duti kastam untuk barangan modal yang tidak dilindungi, potongan 200 peratus ke atas perbelanjaan penyelidikan dan pembangunan, seperti yang ditetapkan mengikut peruntukan Akta Cukai Pendapatan selain pengurangan berkaitan pelaburan.

Kedua-dua kemudahan itu juga masing-masing memperoleh pinjaman tanpa faedah kira-kira  Rs5,124 crore (US$822 juta), lapor akhbar berbahasa Inggeris itu.

- Bernama