Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Kerajaan Negeri Johor memperuntuk RM500,000 bagi menaik taraf semula kemudahan di sekitar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) khususnya di ‘Heritage Trail’ yang menempatkan produk pelancongan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Negeri Datuk Tee Siew Kiong ( kanan ) berkata kerja menaik taraf itu giat dijalankan seperti membaiki semula papan tanda jalan, pemasangan semula lampu dan papan iklan serta mengecat semula bangunan.

Beliau berkata kerja menaik taraf itu ditumpukan di Jalan Meldrum, Jalan Tan Hiok Nee, Jalan Siew Nam dan Jalan Pahang dan akan siap sepenuhnya pada April ini dengan kerjasama MBJB.

“Inisiatif ini adalah antara langkah mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2014 khususnya di negeri ini yang menyasarkan lima juta pelancong," katanya kepada pemberita di Johor Baharu selepas melawat 'Heritage Trail semalam.

Antara produk pelancongan yang menarik dan boleh dilawati di ‘Heritage Trail’ ialah Muzium Tionghua, Kuil Hindu, Tekong Cina berusia 100 tahun, ‘The Red House’ dan Broadway Teater .

Tee berkata terdapat banyak bangunan dan tempat bersejarah di negeri ini yang boleh dikunjungi pelancong selain taman tema yang baharu dibangunkan seperti Legoland, Hello Kitty dan Johor Premium Outlet.

“Kalau dahulu Melaka sahaja dilihat sebagai tempat bersejarah, kini Johor juga mempunyai nilai sejarah yang tinggi serta warisan yang harus diketahui oleh pelancong dan mesti dipelihara dengan sebaiknya,” katanya.

Beliau berkata dengan adanya 'Heritage Trail, jumlah pelancong juga akan meningkat memandangkan tapak warisan itu boleh dilawati dengan berjalan kaki dan menepati citarasa pelancong yang gemar bereksplorasi dengan cara mudah dan percuma.

Turut serta dalam lawatan kerja itu ialah Pengarah Kementerian Pelancongan Malaysia Johor Mohammad Isa Abdul Halim, Pegawai Perancang Bandar dan Desa MBJB Nor Baizura Md. Zin dan Pengerusi Pemandu Pelancong Johor, Jimmy Leong Wie Kong.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS