Syarikat pembangunan perniagaan UDA Holding Berhad memaklumkan lot tanah di Bangsar telah diserahkan kepada Persatuan Euroasian Selangor dan Wilayah Persekutuan menerusi pertukaran yang dilakukan sebelum ini.

Pengerusinya Datuk Johari Abdul Ghani berkata tanah di Jalan Bangsar Utama itu telah ditukar milik kepada persatuan itu supaya mereka dapat berpindah ke lokasi berkenaan ekoran pembangunan di lokasi tapak penjara Pudu, lapor Sinar Harian.

"Ini salah satu penyelesaian yang diambil bagi membangunkan Penjara Pudu dan tanah di Jalan Bangsar Utama berkenaan bukan lagi di bawah milik UDA," kata seperti dilapor akhbar itu.

Sehubungan itu, lapor akhbar itu lagi, Johari berkata belau tidak mempunyai sebarang kuasa untuk pembinaan restoran oleh pihak lain di tapak tersebut memandangkan ia bawah milik persatuan tersebut.

Pada Jumaat lalu, NGO Jaringan Melayu Malaysia (JMM) Wilayah Persekutuan meminta UDA Holding Berhad menyiasat satu lot tanah di Bangsar yang pernah menjadi tapak peniaga Melayu sebelum diusir.

Kumpulan itu mahu Johari membuat siasatan dan memberikan penjelasan itu dalam tempoh seminggu sebelum perkara tersebut dipanjangkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Laporan itu juga menyebut Johari bahawa dakwaan wujudnya unsur penyalahgunaan kuasa berhubung isu itu adalah tidak benar memandangkan NGO itu tidak mengetahui fakta mengenai tanah tersebut.

"Ini semenangnya tidak betul dan mereka tidak mengetahui fakta sebenar mengenai pemilikan tanah di kawasan itu," katanya.

Johari juga berkata penyerahan tanah yang seluas 9600 kaki persegi itu merupakan penyelesaian luar mahkamah berhubung saman yang dikenakan persatuan itu ke atas UDA dan kerajaan pusat.

"Jadi bagi mencari jalan penyelesaian terbaik, kami telah memberi lot tanah di lokasi berkenaan kepada persatuan itu supaya dapat memberi laluan kepada projek pembinaan di Penjara Pudu," katanya.