Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin tampil membela perdana menteri yang dikritik bekas senator dan timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waythamoorthy.

Menurut Khairy, Waytha tidak boleh menyalahkan Datuk Seri Najib Razak di atas kegagalan Persatuan Hindraf Malaysia (PHM) untuk melakukan perubahan.

"Beliau bukan anggota pasukan yang baik dan beliau juga tidak berkesan dalam menggerakkan perjuangannya," kata Khairy dalam satu siri kenyataan menerusi akaun Twitter beliau.

Ketua pemuda Umno itu seterusnya mendakwa Waythamoorthy menuntut agar semua peruntukan untuk komuniti India diberikan kepada beliau dan diagihkan mengikut pertimbangannya.

"Itu bukan cara kerajaan beroperasi. Waythamoorthy mahu mengawal wang dan memintas kementerian dan agensi (kerajaan).

"Apabila tak dapat ini, dia letak jawatan dan salahkan PM," tulis Khairy.

Waythamoorthy pada asalnya mengetuai gerakan Hindraf sekitar tahun 2007 bersama abangnya, P Uthayakumar.

Uthayakumar kini dipenjara kerana suratnya kepada kerajaan Britain yang mencetuskan gerakan Hindraf pada tahun 2007.

Waythamoorthy kemudiannya memimpin Persatuan Hindraf Malaysia yang diiktiraf kerajaan sementara abangnya, Uthayakumar memimpin Parti Hak Asasi Manusia.

Waythamoorthy dilantik sebagai senator dan timbalan menteri selepas memeterai perjanjian persefahaman dengan BN sebelum pilihan raya umum lalu.

[Baca berita penuh]