Kawasan berbukit setinggi 350 meter yang sedang dibersihkan untuk dijadikan ladang getah milik Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (Kuisas) di Kampung Perlop 1 dekat Sungai Siput di Ipoh terbakar pada 8.45 malam tadi.

Ketua Zon 1, Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak Ruhisha Haris berkata sebuah jentera serta tiga kenderaan utiliti milik bomba dan penyelamat membabitkan 12 anggota dan pegawai sedang mengawal kebakaran melibatkan kawasan seluas 365.4 hektar.

"Anggota kita sedang memadam kebakaran seluas 100 hektar, namun 170 hektar telah terbakar dan terpadam dengan sendiri," katanya ketika dihubungi.

Keadaan kebakaran kini terkawal dan bomba akan menggunakan helikopter untuk memadam kebakaran sekiranya perlu, katanya.

Beliau berkata jarak antara kawasan penempatan penduduk dengan tempat kejadian sejauh 11km dan agak berisiko kepada penduduk yang berada sekitar lapan kilometer dari kawasan kebakaran.

"Kita harap kebakaran dapat dipadamkan secepat mungkin kerana ia berisiko kepada penduduk sekitar kawasan ini yang dianggarkan 270 orang. Bagaimanapun anggota bomba ditempatkan di kawasan berhampiran penempatan penduduk untuk mengawal keadaan," kata Ruhisha.

Beliau berkata bomba sedang berusaha mendapatkan bantuan peralatan dan anggota tambahan daripada ibu pejabat untuk memadam kebakaran itu.

"Kita juga dapatkan bantuan tiga jentolak daripada syarikat yang menjalankan projek itu untuk melakukan 'fire brit' di kawasan terbakar iaitu di sebelah kanan bukit menghala ke Gunung Korbu," katanya.

Beliau tidak menolak kemungkinan kebakaran berpunca daripada cuaca panas.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Siput Supt Kasuadi Ali berkata polis akan menghubungi ketua kampung untuk meminta mereka memaklumkan kejadian itu kepada penduduk kampung.    

"Kita mahu penduduk kampung memantau keadaan itu dari semasa ke semasa serta mendapatkan maklumat daripada pihak bomba," katanya.

"Kita khuatir kebakaran ini akan merebak ke kawasan perumahan. Langkah-langkah pemindahan penduduk dengan kerjasama penghulu serta agensi kerajaan akan dilakukan sekiranya perlu," katanya.

Tanah milik Kuisas itu diusahakan Perbadanan Pertanian Negeri Perak yang melantik sebuah syarikat lain untuk kerja pembersihan hutan.

- Bernama