Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Abim sahut cabaran berdebat dengan Kassim
Diterbitkan:  Feb 19, 2014 11:32 AM
Dikemaskini: 3:53 AM

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) sedia menyahut cabaran debat dengan pemikir kontroversi Dr Kassim Ahmad susulan dakwaan beliau dalam "Seminar Pemikiran Kassim Ahmad: Suatu Penilaian" di Putrajaya Ahad lalu.

Naib presidennya Hasri Harun berkata sebagaimana dilapor media, Kassim masih mengulangi dan konsisten dengan kenyataan yang dianggapnya secara terang terangan bercanggah dengan al-Quran dan al-Sunnah.

"ABIM bersedia untuk menyahut cabaran debat yang dikemukakan Kassim dengan keadaan beliau bersedia mengubah serta berhenti mengeluarkan pandangan tidak berasas mengenai Rasullulah SAW, ulama, dan tradisi keilmuan Islam," katanya.

Kassim dilapor mencabar pihak yang menuduhnya sesat dan murtad supaya berdebat ekoran dakwaannya dalam seminar itu bahawa Islam sebenar di negara ini telah diseleweng kerana mengikut satu sistem “kasta paderi” yang dipanggil ulama.

Selain itu, dakwanya, umat Islam juga didakwa mendewa-dewakan Nabi Muhammad dengan syahadah kedua serta rambut bukan aurat wanita.

Mengulas lanjut, Hasri berkata Abim pernah mengadakan dialog dengan Kassim dan menjawab dakwaan kontroversi yang dilontarkannya yang didakwa bercanggah dengan Al-Quran dan al-Sunnah pada 28 Jun 1986.

Menurut Hasri lagi, pihaknya juga menulis buku bertajuk “Islam dan Al-Hadith: Dialog Bersama Kassim Ahmad – Satu Analisis ke atas usaha-usaha merosakkan peribadi dan autoriti Rasulullah SAW" bagi menolak buku Kassim yang bertajuk “Hadis: Satu Penilaian Semula”.

"Sepanjang dialog tersebut, beliau (Kassim Ahmad) gagal menjawab serta mengemukakan hujah di atas setiap persoalan yang dikemukakan," katanya sambil menambah buku itu mengandungi catatan dialog yang diadakandi Universiti Islam Antarabangsa, Petaling Jaya.

Hasri berkata pihaknya menggesa kerajaan dan pihak berkuasa agama mengambil tindakan kerana pemikiran Kassim didakwa bertentangan dengan prinsip dan ajaran Islam.

"Selagi perkara ini tidak disiasat oleh pihak berkuasa agama, pandangan yang diutarakan termasuk menyatakan rambut itu bukan aurat serta mempertikai syahadah kenabian telah memperlihat seolah-olah mendapat “endorsement” dari pihak kerajaan.

"Jika terbukti dan diputuskan idea dan pemikiran Kassim Ahmad bercanggah dengan Islam maka beliau perlu berhenti menyebarkan pandangan beliau dan bertaubat," katanya.

ADS