Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
2 demo bantah Kassim Ahmad Jumaat ini
Diterbitkan:  Feb 19, 2014 1:45 PM
Dikemaskini: 7:02 AM

Dua demonstrasi dianjurkan bagi menyatakan bantahan terhadap kenyataan kontroversi sarjana Kassim Ahmad selepas solat Jumaat akan datang.

Ia dianjurkan oleh Pemuda PAS Perak di Masjid Negeri Ipoh. Dewan Ulama Johor pula menganjurkan bantahan sama di Masjid Bandar Baru UDA, Johor Bahru.

Harakahdaily melaporkan, bantahan di Perak diadakan kerana pihak berkuasa didakwa hanya menjadi penonton setia kepada “kebiadaban” Kassim, terbaru melalui seminar pemikirannya Sabtu dan Ahad lalu.

Timbalan ketua Pemuda PAS Perak Akmal Kamarudin dilaporkan berkata, mereka juga kesal kerana seminar itu dirasmikan bekas perdana menteri dan pemimpin Umno Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Ini jelas menunjukkan bahawa Umno bukanlah pejuang Islam yang sebenar," beliau dipetik sebagai berkata.

Dalam seminar dua hari di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya itu, Kassim antaranya mengkritik “kasta paderi” dalam Islam, mengkritik pendewaan terhadap Nabi Muhammad serta berhujah rambut bukan aurat wanita.

Pemuda PAS Perak memberi tempoh tiga hari kepada Kassim memohon maaf atas “keceluparannya” yang turut didakwa menghina Islam.

Sementara itu, Ketua Dewan Ulama PAS Johor Abdullah Husin pula memberitahu Malaysiakini semalam, mereka kesal dengan penganjuran seminar itu sedangkan Kassim pernah menimbulkan kontroversi 30 tahun lalu.

ADS