Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein menjadi menteri terbaru menghentam bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waythamoorthy dengan memanggil beliau sebagai "mementingkan diri sendiri".

Hishammuddin yang juga naib presiden Umno berkata peletakan jawatan Waythamoorthy untuk "menutup kegagalan sendiri."

"Sikap Waytha menyalahkan kerajaan (Datuk Seri) Najib Razak - mainan politik untuk menutupi kegagalan sendiri dalam memperjuang nasib kaum India Malaysia

"Terbukti, beliau tidak ikhlas dalam memperjuangkan nasib kaum India secara holistik, seperti yang dilaung-laungkan sebelum ini," kata beliau.

Twit Hishammuddin turut melibatkan Menteri Perumahan dan Kebajikan Bandar Datuk Abdul Rahman Dahalan dan MIC dalam posting yang mengutuk ketua Persatuan Hindraf Malaysia itu.

Hishammuddin menambah perbuatan meletakkan jawatan selepas sembilan bulan dan kemudian menyerang kerajaan turut menunjukkan Waythamoorthy "tidak ikhlas dan mementingkan diri sendiri." [Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan timbalan menteri pendidikan II, P Kamalanathan berkata Waythamoorthy tiada hak menuding jari kepada perdana menteri mengenai taraf sosio-ekonomi kaum India kerana kerajaan memperjuangkan keperluan kaum itu di negara ini secara berterusan.

    

Katanya, kerajaan telah menyalurkan peruntukan yang amat besar kepada kaum India terutama dalam menambah baik sistem pendidikan sekolah Tamil di negara ini.

    

"Dia (Waythamoorthy) tidak berhak mengkritik seseorang (Najib) yang sentiasa memberi sesuatu kepada komuniti India... melaksanakan pelbagai transformasi kepada kaum India di negara ini... terus menyalurkan bantuan dalam pelbagai aspek," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Politeknik Merlimau sebagai Pusat Pendidikan Pelancongan dan Hospitaliti (MyCenTHE) di Jasin hari ini.

    

Sebelum ini Waythamoorthy mendakwa peletakan jawatannya adalah kerana kerajaan tidak membantunya dalam usaha meningkatkan taraf hidup kaum India yang miskin sejak dilantik ke jawatan itu lapan bulan lepas.

    

Kamalanathan yang juga ahli kawatankuasa kerja pusat MIC berkata Waythamoorthy seharusnya bersatu dan bekerja dalam satu pasukan demi memastikan hak dan keperluan rakyat diperjuangkan.

"Saya kecewa kerana saya dimaklumkan dia (Waythamoorthy) meletak jawatan kerana isu peribadi... dia minta tidak dapat, maka dia salahkan orang lain... itu bukan caranya kita harus bekerja," katanya.

    

Kamalanathan berkata perjuangan untuk menambah baik mutu kehidupan rakyat Malaysia merupakan satu perjuangan yang tidak akan selesai dan semua parti komponen BN akan terus memastikan semua rakyat termasuk kaum India akan maju.