Tulis alasan penghakiman dalam 8 minggu - CJ
Para hakim diingatkan supaya menulis alasan penghakiman mereka dalam kadar masa yang munasabah supaya rayuan terhadap keputusan kes mahkamah itu dapat diteruskan dengan segera.
Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria berkata para hakim perlu mematuhi pekeliling yang menyatakan bahawa alasan-alasan penghakiman perlu disediakan dalam masa lapan minggu daripada tarikh keputusan diumumkan.
"Saya mengingatkan para hakim supaya membuat keputusan dengan bebas berlandaskan kepada prinsip undang-undang, dan dengan penuh rasa berani tanpa gentar atau menyebelahi mana-mana pihak," katanya pada majlis mengangkat sumpah jawatan dan taat setia lima hakim Mahkamah Tinggi di Putrajaya hari ini.
Arifin berkata alasan penghakiman itu perlu disediakan dengan mengambil kira pihak yang kalah kerana mereka memerlukan penjelasan yang nyata kenapa sesuatu keputusan itu tidak memihak kepada mereka.
"Pihak-pihak pasti akan berpuas hati jika alasan penghakiman adalah jelas dan lengkap berdasarkan kepada nas-nas undang-undang yang mantap," katanya.
Arifin juga berkata Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman memberi pertimbangan utama kepada kualiti alasan penghakiman dan juga kecepatan seseorang hakim
menyediakan alasan penghakiman bagi tujuan kenaikan pangkat para hakim.
"Di zaman seberapa canggih ini, tugas kita sebagai hakim sentiasa diteliti orang awam lebih daripada biasa berbanding sebelum ini. Ini menghendaki para hakim membuat keputusan yang bukan saja adil tetapi berkualiti dan mudah difahami.
"Jika keputusan hakim itu dibuat tanpa mengunakan daya analisis yang mendalam dan terperinci, dan tanpa alasan-alasan yang rasional, maka kemampuan
dan kecekapan hakim berkenaan pasti akan dipersoal," katanya.
Arifin berkata kesannya, keyakinan dan kepercayaan orang awam terhadap badan kehakiman akan terhakis, dan fungsi mahkamah sebagai tempat untuk menegakkan keadilan akan tergugat.
Di majlis itu, lima Pesuruhjaya Kehakiman mengangkat sumpah jawatan dan taat setia ke jawatan hakim Mahkamah Tinggi.
Mereka terdiri daripada Datuk Asmabi Mohamad, 62, Lee Heng Cheong, 57, See Mee Chun, 54, Samsudin Hassan, 61, Lee Swee Seng, 53.
Kesemua mereka mengangkat sumpah jawatan di hadapan Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin dan disaksikan oleh Arifin dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum.
- Bernama

