Cuepacs bantah swasta pengurusan sisa pepejal
Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) membantah cadangan penswastaan pengurusan sisa pepejal Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Perak dan berpendapat akta yang berkaitan tidak perlu diwujudkan.
Presidennya Azih Muda berkata ia bagi mengelak kira-kira 2,000 penjawat awam yang berkhidmat di bawah PBT mengalami masalah yang sama seperti di Kedah dan Perlis ekoran penswastaan itu.
"Penjawat awam amat diperlukan dalam perkhidmatan PBT. Sekiranya mereka beralih kepada swasta, bukan sahaja pekerjaan mereka terancam malah nasib yang sama akan dirasai seperti rakan-rakan kita yang telah berpindah ke syarikat konsesi. Saya fikir sebulan atau dua bulan mereka akan dibuang kerja.
"Seperti di Selangor, pekerja-pekerja dalam perkhidmatan PBT telah dipindahkan kepada Alam Flora yang mana pengurusannya telah diambil alih oleh kerajaan Selangor, pekerja ini tidak boleh kembali kepada PBT," katanya kepada pemberita selepas majlis perhimpunan bersama penjawat awam dari 15 PBT di Perak hari ini.
Beliau berkata Cuepacs menyokong pendirian Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang masih belum menandatangani persetujuan untuk menerima konsesi yang akan mengambil alih pengurusan tersebut.
Azih berkata sekiranya penswastaan berlaku, penjawat awam seharusnya tidak diberhentikan perkhidmatan mereka sebaliknya dipindahkan ke Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
"Sepatutnya kita perlu bantu rakyat negara ini untuk mendapatkan pekerjaan. Kita lihat hari ini pekerja di syarikat-syarikat konsesi adalah warga asing dari Nepal, Bangladesh dan Myanmar," katanya.
Beliau berkata pihaknya yakin PBT mampu mengurus sisa-sisa pepejal sebaik mungkin tanpa dirujuk kepada penswastaan.
"Jika ada peruntukan, kerajaan perlu salurkan kepada PBT kerana mereka boleh buat lebih baik daripada syarikat konsesi," katanya.
Beliau berkata Cuepacs akan memaklumkan bantahan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam tempoh terdekat.
"Saya yakin perdana menteri amat prihatin dan peka terhadap kesusahan pekerja dan dapat mempertimbangkan perkara itu dan kita juga berharap menteri kesejahteraan bandar, perumahan dan kerajaan tempatan tidak memberi tekanan kepada kerajaan negeri supaya penswastaan ini berlaku," katanya.
- Bernama

