Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini membenarkan permohonan Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin untuk mengeluarkan namanya sebagai defendan dalam saman yang difailkan sebuah syarikat pengurusan majlis berhubung Karnival Sihat 3S di kawasan Parlimen Papar di Sabah.

    

Pesuruhjaya Kehakiman Vazeer Alam Mydin Meera membenarkan permohonan itu selepas mendengar permohonan peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun dan Raihanah Ashriqin Ariffin yang mewakili Rosnah.

    

Ketika ditemui pemberita kemudian, Mohd Hafarizam berkata mahkamah membenarkan permohonan Rosnah, yang menyatakan beliau tidak patut dinamakan sebagai defendan dalam saman itu.

"Pihak plaintif telah tersilap menamakan Rosnah sebagai defendan atau salah cantum," katanya.

    

Oleh itu, Mohd Hafarizam berkata mahkamah membenarkan permohonan itu dengan kos RM2,500.

    

Pada 3 Disember tahun lepas, Rosnah yang juga ahli Parlimen Papar mengemukakan notis permohonan untuk mendapatkan satu perintah mengeluarkan namanya sebagai defendan dalam saman itu.

Dalam afidavit sokongannya, Rosnah menyatakan tiada sebarang perjanjian lisan atau bertulis dimeterai antaranya dan syarikat itu untuk membayar atau menanggung apa-apa perbelanjaan atau kos karnival itu.

    

Pada 12 November tahun lepas, syarikat Universal Credential memfailkan saman terhadap Rosnah yang ketika itu Timbalan Menteri Kesihatan, dan pekerja Mindmatics Sdn Bhd Datin Nirvana Jalil Ghani, bagi menuntut gantirugi berjumlah RM1.98 juta atas dakwaan memungkiri perjanjian berhubung Karnival 3S (Sihat, Sejahtera & Selamat) yang diadakan tiga hari bermula 9 Dis 2011 di Padang Pekan Papar, Papar, Sabah.

    

Dalam pernyataan tuntutannya, syarikat itu menamakan Rosnah sebagai defendan pertama dan Nirvana sebagai defendan kedua.

    

Syarikat itu mendakwa Rosnah telah meminta syarikat itu untuk menganjurkan satu karnival kesihatan di kawasan Papar melalui Nirvana, yang merupakan pengurus besar di syarikat itu.

Syarikat itu mendakwa Rosnah telah meminta pengarah urusan syarikat itu Nor Dalina Ibrahim untuk datang berjumpa dengannya melalui Nirvana di Kementerian Kesihatan di Putrajaya pada Jun 2011, dan beliau (Rosnah) berjanji untuk membayar segala perbelanjaan dan kos bagi mengatur dan mengurus karnival itu kepada syarikat itu.

    

Syarikat itu mendakwa selepas karnival itu berakhir, Rosnah enggan untuk membayar baki RM482,767.84 daripada jumlah keseluruhan kos bagi mengatur dan mengurus karnival itu iaitu RM549,767.84.  

    

Syarikat itu menuntut gantirugi am untuk kemungkiran perjanjian sebanyak RM500,000, ganti rugi teladan dan teruk berjumlah RM1 juta, gantirugi khas RM482,767.84, faedah dan juga kos.

    

Dalam pernyataan pembelaannya bertarikh 3 Disember 2013, Rosnah berkata beliau tidak mempunyai sebarang perjanjian lisan atau bertulis dengan syarikat itu berkaitan Karnival Papar 3S, dan mendakwa syarikat itu gagal menunjukkan sebarang tawaran dan penerimaan yang membawa kepada perjanjian antara mereka.

- Bernama