Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Penamaan calon, pengundian parlimen belia ditangguh

Tarikh penamaan calon dan pengundian Parlimen Belia Malaysia (PBM) terpaksa ditangguhkan sehingga diberitahu kelak ekoran masalah teknikal pada laman sesawang PBM.

    

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata keputusan penangguhan itu bagi mengelak berlakunya masalah yang boleh menimbulkan pertikaian terhadap kredibiliti PBM.

"Jangan rumah siap pahat berbunyi. Saya amat kesal dengan segala kesulitan dan masalah yang dihadapi oleh semua pendaftar PBM," katanya dalam ucapan Sempena Majlis Penyerahan Cek Bantuan Pentadbiran kepada Pertubuhan Belia Kebangsaan, Majlis Belia Negeri dan Majlis Belia Daerah bagi tahun 2014 di Putrajaya hari ini.

    

Namun beliau amat teruja kerana banyak belia yang telah meluahkan hasrat dan berminat untuk bertanding sebagai ahli PBM dan sehingga kini sebanyak 210,000 belia berusia antara 18 hingga 40 tahun telah berdaftar sebagai pengundi.

    

Berdasarkan cadangan asal, penamaan calon bagi 119 kerusi PBM akan berlangsung akhir bulan ini sementara pengundian pula diadakan Mac, manakala persidangan pertama dijangka diadakan pada April.

    

Khairy berkata masalah timbul sejak Jumaat lepas dan kini laman itu terpaksa diturunkan ekoran timbul banyak persoalan tentang simulasi yang sepatutnya diadakan pada minggu ini.

    

"Kami mendapati lamanweb tersebut mempunyai beberapa kelemahan yang perlu diatasi sebelum pengundian dijalankan dan kami sudah menjangka akan muncul beberapa masalah teknikal," katanya.

    

Kementerian sedang bertungkus-lumus untuk mengatasi masalah yang telah dikenal pasti sewaktu proses audit dilakukan terhadap sistem pengundian baru-baru ini, katanya.

    

Beliau sebagai menteri yang bertanggungjawab berhubung perkara berkenaan memohon maaf dan berharap mereka yang sudah berdaftar dapat bersabar sehingga masalah ini selesai.

    

Penyerahan cek bantuan bernilai RM10.10 juta itu disampaikan Timbalannya Datuk M. Saravanan kepada 142 buah pertubuhan belia yang terdiri daripada pertubuhan belia, Majlis Belia Negeri, Majlis Belia Daerah serta badan beruniform.

- Bernama

ADS