Malaysia perlu mempunyai undang-undang patuh Syariah berhubung pendokumentasian urus niaga kewangan Islam untuk menyelesaikan pertikaian yang mungkin timbul daripada urus niaga itu, kata bekas ketua hakim negara Tun Abdul Hamid Mohamad.

    

Abdul Hamid berkata Malaysia perlu bergerak pantas ke arah itu kerana memiliki banyak kelebihan, berbanding negara lain, termasuk kedudukannya sebagai negara Islam di mata dunia.

    

"Di peringkat antarabangsa, Malaysia dilihat sebagai model negara Islam. Oleh itu, sudah sewajarnyalah Malaysia menjadi hab kewangan Islam," katanya ketika menyampaikan ucaptama di Persidangan Pembelajaran Perbankan dan Kewangan Islam di ibunegara hari ini.

    

Abdul Hamid berkata sejak mula hingga kini, negara terbabit hanya memberi fokus terhadap usaha melahirkan produk patuh Syariah, "tetapi terdapat satu bidang (urus niaga kewangan Islam) yang tidak diberi tumpuan iaitu mewujudkan undang-undang serasi Syariah dalam melaksanakan produk berkenaan dan untuk menyelesaikan pertikaian yang timbul daripadanya.

    

“Kita tahu bahawa undang-undang Inggeris boleh digunapakai, tetapi ia tidak seluruhnya serasi dengan Syariah dan kita juga tahu peguam dan hakim Inggeris tidak terlatih dalam bidang Syariah. Kita tahu kebanyakan hakim, paling tidak pun, memandang remeh terhadap Syariah," katanya.

    

Abdul Hamid berkata hakim perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan secukupnya tentang kewangan Islam dan Syariah untuk mengendalikan atau menangani kes berkaitan perkara itu.

    

“Mereka boleh mula membuat pembacaan tentang subjek berkenaan. Di samping itu, badan kehakiman juga perlu mengadakan kursus, sekurang-kurangnya untuk hakim terpilih, tentang subjek ini," katanya.

    

Sementara itu, Abdul Hamid menyarankan kepada peguam supaya tidak hanya berfikir untuk mewakili pelanggan dalam kes saman berkaitan hutang, tetapi juga tentang kontrak merentas sempadan yang melibatkan syarikat multinasional dalam urusniaga kewangan Islam.

    

- Bernama