MAS catat pendapatan lebih baik pada Januari
Walaupun mengalami kerugian bersih sebanyak RM343.4 juta pada suku akhir tahun lepas, Malaysia Airlines (MAS) mencatatkan jumlah pendapatan lebih baik pada bulan Januari berbanding bulan yang sama tahun lepas berikutan peningkatan muatan penumpang.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Ahmad Jauhari Yahya berkata walaupun keputusan kewangan 2013 lebih buruk daripada jangkaan, penerbangan nasional itu akan meneruskan usaha yang dijalankan bagi merealisasikan pelan pemulihan, yang kini pada kedudukan yang baik, untuk kembali pulih menjelang akhir tahun ini.
Strateginya ialah berbelanja secara berhemah dan mengurangkan kos dalam industri yang sangat berdaya saing, dengan hasil yang rendah walaupun MAS mencatatkan kapasiti lebih tinggi, katanya pada taklimat media hari ini.
Mengulas mengenai kerugian tahun lepas walaupun mencatatkan kapasiti lebih tinggi di sebalik harga kompetitif, Ahmad Jauhari berkata: "Kami tidak menetapkan tambang, begitu juga kita tidak menurunkan harga tetapi kita bertindak balas dengan tambang pasaran yang sama."
"Jika kami tidak berbuat apa-apa, kami tidak akan dapat menjual apa-apa. Oleh itu, kami tidak mengawal hasil, yang MAS hadapi," katanya sambil menegaskan penerbangan nasional berharap dapat mengembalikan kuasa harga dengan peningkatan saham dalam pasaran kapasiti lebih tinggi.
Beliau menyebut bagaimana syarikat penerbangan Australia, Qantas, dan syarikat penerbangan Singapura turut mengalaminya berikutan harga tambang udara global yang susut 8.0 peratus tahun lepas berikutan persaingan sengit yang memberi gambaran jelas mengenai sebuah industri yang sukar.
"Bagi mengurangkan kos, kami memastikan pesawat kami memberi keuntungan dan laluan penerbangan kami menyumbang kepada rangkaian, melibatkan kecekapan pesawat," katanya.
Sebagai ganti kepada pesawat B777 yang telah berusia menjelang 2018, Ahmad Jauhari berkata keputusan untuk menggantikan pesawat itu, yang dianggap sebagai 'permaisuri di langit' apabila diperkenalkan pada 1997, akan dilakukan pada separuh kedua tahun ini.
Menjawab soalan sama ada MAS akan mengambil jalan keluar dengan memperoleh kelulusan pemegang saham untuk membiayai penggantian 15 pesawat B777, beliau berkata: "Kami akan cuba untuk tidak berbuat demikian dan akan menjalankan proses penggantian secara mampan."
Kepada soalan lain sama ada lebih baik jika MAS diambil oleh pihak swasta berikutan masalah kewangannya, Ahmad Jauhari berkata ia perlu diputuskan oleh pemegang saham (Khazanah Nasional) dan tidak adil untuk membangkitkan perkara itu kepada pihak pengurusan.
Mengenai rasionalisasi laluan sebagai sebahagian daripada strategi mengurangkan kos, beliau berkata semua laluan dikaji semula setiap bulan.
Bulan lepas, MAS mengumumkan penamatan sektor Kuala Lumpur-Los Angeles, berkuat kuasa 30 April tahun ini.
Sektor itu dipercayai menyebabkan kerugian sejak perkhidmatannya bermula hampir 30 tahun lepas.
Antara laluan yang menguntungkan ialah KL-London manakala KL-Paris berdasarkan faktor cuaca, katanya.
Mengenai peningkatan kos bahan api yang menyumbang 39 peratus atau RM1.55 bilion daripada jumlah perbelanjaan, beliau berkata ia memakan kos setengah juta ringgit untuk bahan api bagi penerbangan sehala KL-London.
Ahmad Jauhari berkata: "Kami mengetahui apa yang silap pada 2013 dan kami kini tahu apa yang perlu diperbaiki tahun ini," katanya, merujuk kepada usaha untuk meneruskan langkah-langkah mengurangkan kos di mana perlu.
Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2013, kerugian sebelum cukai syarikat penerbangan adalah lebih daripada dua kali ganda kepada RM1.15 bilion berbanding RM424.8 juta bagi tempoh sama pada 2012 manakala pendapatan meningkat kepada RM15.12 bilion berbanding RM13.75 bilion.
- Bernama

