Keadaan angin kencang dan laut bergelora yang melanda perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur, Sabah (Pedalaman, Pantai Barat, Kudat dan Sandakan), Labuan serta Sarawak dijangka berterusan sehingga Isnin depan.

    

Menurut portal Jabatan Meteorologi Malaysia hari ini, angin berkelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam itu menyebabkan laut berombak setinggi 3.5 meter dan berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut.

    

Keadaan sama juga diramal di Samui, Tioman, Condore, Bunguran, Reef South, Reef North, Layang-Layang, Palawan dan Sulu, kata portal itu.

    

Selain itu, kawasan pantai di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur turut terdedah kepada kenaikan paras air laut.

    

Sementara itu, kejadian ribut petir yang melanda perairan Selangor, Sarawak (Bintulu), Sabah (Pedalaman) dan Reef North dijangka berterusan sehingga lewat pagi ini.

    

Keadaan itu boleh menyebabkan angin kencang sehingga 50 kilometer sejam dan laut bergelora dengan ombak setinggi 3.5 meter yang berbahaya kepada bot-bot kecil.

    

- Bernama