TPPA: Tiada kata putus jika tak selesa
Malaysia tidak akan memberikan kata putus dalam rundingan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) selagi tidak selesa dengan 'pengorbanan' yang perlu dibuat negara ini.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mustapa Mohamed berkata sebarang persetujuan perlu mengambil kira aspek Perlembagaan Persekutuan, hubungan kerajaan pusat dan negeri serta dasar kerajaan seperti hak bumiputera.
"Sukar untuk tukar (pinda perlembagaan) jika ia memerlukan pindaan perlembagaan. Selain itu kita turut menghormati hak-hak negeri seperti perhutanan dan tanah seperti termaktub dalam perlembagaan," kata beliau dalam sesi penerangan isu TPPA kepada media hari ini.
Mustapa memberitahu bahawa tarikh persetujuan rundingan masih tidak dipastikan kerana banyak perkara belum diselesaikan merangkumi isu-isu berkaitan tiga perkara tersebut.
Bagaimanapun beliau memaklumkan bakal menghadiri mesyuarat peringkat menteri kali ke lapan berkenaan TPPA di Singapura selama empat hari bermula esok bagi perbincangan lanjut.
Mustapa berkata kabinet memberi mandat kepada beliau yang akan melaporkan setiap perbincangan kepada kerajaan.
"Bukan sahaja kita, 11 lagi negara turut menghadapi masalah mereka sendiri.
"Polisi kita adalah ketelusan dan sebab itu kita sudah adakan lebih 50 perjumpaan dengan mereka yang berkepentingan seperti NGO, pemimpin dan lain-lain.
"Tapi kita tidak boleh memberitahu apa dia polisi negara lain yang terlibat berkenaan rundingan ini," kata beliau.
Sementara itu Mustapa berkata kaukus bipartisan parlimen turut memberi maklum balas positif terhadap perbincangan beliau.
"Sebelum ini banyak pengkritik menolak seratus-peratus sekarang sudah bertukar kepada lebih memahami," kata beliau.

