PERKASA tubuh badan alternatif NUCC
NGO pendesak Melayu, PERKASA mahu menubuhkan 'Front Perpaduan Nasional' sebagai suara alternatif akar umbi bagi mencapai perpaduan nasional.
Ia ditubuhkan sebagai alternatif kepada Majlis Konsultasi Perpaduan Nasional (NUCC), kata Pengerusi Biro Perhubungan Awam dan Perpaduan PERKASA, Datuk Mat Rabi Abu Samah.
Menurutnya, perkara itu perlu kerana mereka kurang yakin dengan ahli NUCC yang dianggap kurang efektif.
"Ahli-ahli NUCC tak beri keyakinan untuk capai matlamatnya.
"Sungguhpun cadangan kerajaan (tubuhkan NUCC) itu baik tapi komposisi ahlinya menunjukkan ia takkan efektif.
"Ada ahlinya yang tak percaya prinsip negara? bagaimana?" Kata Mat Rabi dalam sidang media di ibupejabat PERKASA hari ini.
Menurut Mat Rabi, PERKASA akan bertemu dengan NGO Melayu Islam yang lain sebelum akhir bulan ini bagi membincangkan idea dan metodologi front tersebut.
Kemudian beliau akan menjemput NGO bukan Melayu lain untuk bersama dengan front yang bakal diterajui Perkasa itu.
"Kami akan turut mencadangkan satu nama yang sesuai sebagai ketua. Namun kami hanya umumkan pada masa yang sesuai," kata beliau.
Ditanya sama ada PERKASA bimbang dengan anggapan negatif dari NGO lain dan orang ramai yang menentang cadangan ini, Mat Rabi berkata, PERKASA akan terus berjuang dengan perjuangan mereka.
Beliau menjangka tiga perempat NGO akan menyertai front ini.
"Setuju atau tidak, rancangan ini akan tetap berjalan. Kami sentiasa bergerak ke hadapan walaupun berdepan pelbagai halangan.
"Mungkin kerajaan sendiri akan bagi komen negatif tapi kami buat juga," katanya.

