Pencalonan anugerah hak asasi manusia 2014
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mempelawa pencalonan untuk Anugerah Hak Asasi Manusia 2014 pada 9 September ini bersempena sambutan Hari Suhakam.
Pengerusinya Tan Sri Hasmy Agam berkata terdapat lima kategori yang dipertandingkan iaitu Anugerah Individu, Anugerah Kumpulan atau Organisasi, Anugerah Media, Anugerah Agensi Kerajaan dan Anugerah Entiti Perniagaan.
"Anugerah ini bertujuan untuk memberi penghormatan kepada individu, kumpulan dan organisasi, agensi kerajaan dan entiti perniagaan atas sumbangan mereka ke arah mempromosi dan melindungi hak asasi manusia di negara ini," katanya dalam kenyataan malam tadi.
Pencalonan ditutup pada 30 Jun ini dan orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan melayari laman sesawang www.suhakam.org.my.
- Bernama

