'Saya cuma akan nasihat seperti ratu England'
Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Taib Mahmud berkata tidak akan campur tangan dalam pentadbiran negeri selepas persaraannya.
Menurutnya lagi, beliau hanya akan menasihatkan penggantinya seperti langkah ratu di United Kingdom kepada perdana menterinya.
Taib yang akan menjadi Yang di-Pertua Negeri selepas berundur sebagai ketua menteri pada 28 Februari ini berkata, hanya boleh ada seorang “bos” di Sarawak.
Dalam menurutnya lagi, orang itu, bakal ketua menteri Tan Sri Adenan Satem.
“Saya tidak tahu jika beliau (Adnan) perlu nasihat dari saya. Jika ya, saya rasa kedudukan Yang di-Pertuan Negeri seperti ratu di England,” katanya. [Baca berita penuh]
Tak pasti Adenan akan minta
Sementara itu, Bernama melaporkan Taib sebagai berkata, nasihat yang diberinya tidak semestinya secara rasmi, tetapi juga melalui perjumpaan biasa.
"Saya yakin, apabila timbul sesuatu keadaan baharu dan kepimpinan baharu merasakan perlu mendapatkan pandangan saya, saya sedia memberinya...
"Tapi saya tidak pasti beliau (ketua menteri akan datang Tan Sri Adenan Satem) akan meminta nasihat saya," beliau dipetik sebagai berkata pada sidang akhbar di pejabatnya di Kuching.
Taib berkata demikian apabila ditanya sama ada beliau berpendapat memberi bimbingan setelah berundur kelak, akan disalah anggap sebagai mencampuri urusan pentadbiran baharu negeri ini.
"Nasihat beliau kepada saya mungkin sesuatu yang wajib. Sebagai yang Dipertua Negeri, saya perlu mematuhinya.
"Tetapi, nasihat saya kepada beliau hanya berupa pandangan yang perlu beliau dapatkan, jika beliau memerlukannya," kata Taib, seperti dilapor agensi berita nasional.
Tain disebut-sebut akan menjadi yang Dipertua Negeri Sarawak mulai 1 Mac.
Taib, ketua menteri Sarawak selama 33 tahun, berkata selama ini, beliau dan Adenan ( atas ) sering berkongsi pengalaman tentang kemajuan atau politik Sarawak.

