Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata empangan air di Selangor mampu bertahan selama lima bulan lagi sekalipun cuaca panas dan kering berterusan.

Bagaimanapun pihak kerajaan negeri berkata pihak meteorologi mengesahkan bahang panas luar biasa ini dijangka hanya kekal selewat-lewatnya akhir bulan depan.

"Kalau dalam tiga bulan (tidak hujan), kita (masih) dalam keadaan tidak cemas, kerana biasanya bulan April musim tengkujuh atau hujan.

“Jadi isu tak ada air pun takkan timbul bila musim hujan (tiba)," kata beliau kepada media selepas taklimat isu air Selangor di Shah Alam hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan simpanan air di kesemua empangan di seluruh negara diunjurkan hanya mampu membekalkan air antara satu hingga tiga bulan sekiranya cuaca panas dan kering berpanjangan.

Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER), S Piarapakaran berkata, keupayaan untuk menampung permintaan air bergantung kepada situasi kemarau di setiap negeri dan saiz serta struktur empangan.

Semasa taklimat hari ini, Timbalan Pengarah Unit Perancangan Ekonomi Selangor, Nor Azmi Diron berkata lima dari tujuh empangan Selangor masih dalam keadaan baik dan mempunyai sekurang-kurangnya 80 peratus kapasiti.

Bagaimanapun beliau mengaku dua lagi empangan - Sungai Selangor dan Klang Gate dalam keadaan membimbangkan tetapi masih tidak kritikal.

"Masalahnya ialah empangan Sungai Selangor membawa lebih 60 peratus dari permintaan air negeri ini.

"Tapi empangan di negeri mampu bertahan empat atau lima bulan lagi," kata beliau.

Nor Azmi turut berkata Selangor sedang berusaha meningkatkan kecekapan pengedaran air di seluruh negeri selepas Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan kerajaan mengambil alih.

"Sekarang penggunaan air di tahap 3,000 juta liter sehari (MLD) dan kita boleh keluarkan 5,252 MLD. Tapi kerana peratusan air tak berhasil (NRW) kita tinggi, kita perlu bekal sekurang-kurangnya 4,700 MLD sehari," kata beliau semasa taklimat.

Sementara itu Khalid berkata satu pengumuman akan dibuat melibatkan program penstrukturan air Selangor dalam masa dua minggu.

Bagaimanapun beliau enggan berkata sama ada Akta Perkhidmatan Air (WSIA) akan dilaksanakan atau tidak.

"Kita tunggu pengumuman," kata beliau.