Video CNY Teresa kini dimasuk sarikata BM
Klip video "Onederful Malaysia" kini dimasukkan sarikata Bahasa Malaysia untuk membuktikan ia adalah satira politik yang tidak menghina mana-mana kaum atau agama, kata Ahli Parlimen DAP Seputeh, Teresa Kok.
"Saya ingin meminta pihak yang tidak bertanggungjawab hentikan segala tohmahan ke atas saya," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Kataya, klip video “Onederful Malaysia" yang berbentuk satira politik sempena Tahun Baru Cina itu mendapat sambutan baik daripada masyarakat yang memahami bahasa Cina, khususnya golongan muda.
Bagaimanapun, katanya, ada pihak yang tidak bertanggungjawab yang telah memutarbelitkan klip video satira politik itu dengan mendakwa beliau mengutuk orang Melayu.
Tuduhan itu, tegasnya, adalah bohong dan mungkin kerana orang yang membuat tuduhan itu tidak faham bahasa Mandarin dan Kantonis dalam klip video tersebut.
"Berikutan tuduhan-tuduhan palsu itu, telah berlakunya gangguan, ugutan dan ancaman terhadap saya," tambahnya.
"Kini klip video tersebut dimasukkan sarikata Bahasa Malaysia supaya semua rakyat Malaysia, termasuk orang Melayu dapat memahami dengan jelas isi kandungan klip video itu dengan lebih mudah.
"Tajuk klip video yang mempunyai sarikata Bahasa Malaysia dalam youtube ialah 'Teresa Kok Onederful Malaysia CNY 2014 Sarikata Bahasa Malaysia'", tambahnya.
Berikutan itu, Teresa berharap ia dapat membetulkan persepsi salah serta mereka yang menabur fitnah terhadapnya kerana tidak faham Bahasa Mandarin dan Kantonis serta gagal memahami isi kandungan klip video itu, menghentikan perbuatan tersebut.
Teresa juga menyeru golongan yang tidak bertanggungjawab berhenti memutar-belitkan, dalam media sosial mereka, isu ayam mati dan cat merah yang dilempar ke tangga pusat khidmat DAP Seputeh, dengan menuduh beliau yang melakukan kesemua itu sendiri.
"Saya telah menunjukkan bukti bahawa pintu grill itu mempunyai lubang yang boleh dimasukkan tangan untuk membuang cat merah yang dimuat dalam bungkusan plastik dan juga ayam mati.
"Pemimpin DAP dan saya sentiasa berjuang menentang perkauman dan penindasan serta mahu mewujudkan masyarakat Malaysia berbilang kaum yang berpegang kepada semangat muhibbah dan setiakawan," tambahnya.

