Duta Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia Joseph Y Yun hari ini berkata beliau menjangka Presiden Barack Obama akan mengadakan perbincangan yang luas dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak apabila beliau melawat Malaysia pada April ini.

    

Yun berkata beliau juga menjangkakan perbincangan itu meliputi pelbagai isu termasuk perdagangan dan pelaburan, pendidikan, pembangunan ekonomi hijau selain pengukuhan hubungan dua hala, akan membuahkan hasil yang memberangsangkan.

    

Obama yang dijadualkan melawat negara ini pada Oktober lepas, menangguhkan kunjungan itu susulan penutupan sementara sebahagian operasi pentadbiran di AS.

    

Beliau menjadualkan semula lawatan ke sini dan tiga negara lagi iaitu Jepun, Korea Selatan dan Filipina pada April ini.

    

"Saya pasti kedua-dua pemimpin akan meluahkan hasrat untuk membawa hubungan ke arah yang lebih baik," katanya kepada pemberita selepas menganjurkan ceramah mengenai Pemuliharaan Hidupan Liar Sabah.

    

Mengenai program itu, Yun berkata aktiviti berkenaan bertujuan membangkitkan kesedaran mengenai kepentingan melindungi hidupan liar.

    

Sekalipun menumpukan kepada isu hidupan liar di Sabah, perkara berkenaan bukan lagi masalah tempatan tetapi global kerana isu seperti penyeludupan hidupan liar, penebangan hutan, pembalakan yang bertanggungjawab dan sebagainya menuntut komitmen daripada semua, katanya.

    

Ceramah selama sejam setengah itu dihadiri oleh diplomat, wakil agensi kerajaan, badan bukan kerajaan serta sektor korporat selain Jabatan Perhutanan Sabah, Jabatan Hidupan Liar Sabah dan Danau Girang Field Centre serta EcoHealth Alliances.

    

Ceramah itu susulan lawatan kerja Yun ke Sabah pada Disember lepas bagi melihat usaha perlindungan dan pemuliharaan hidupan liar yang dijalankan oleh pihak berkuasa.

    

- Bernama