Malaysia tidak berada dalam krisis ekonomi walaupun berdepan dengan kenaikan harga barang, kata Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.

    

Beliau berkata asas ekonomi negara masih lagi kukuh dan ini terbukti dengan keluaran dalam negara kasar mencatatkan pertumbuhan 4.7 peratus pada tahun lepas.

    

Semasa menolak tohmahan sesetengah pihak terhadap urus tadbir ekonomi negara, Mohd Irwan berkata walaupun negara berdepan dengan kenaikan kos sara hidup, kerajaan telah mengambil langkah-langkah pencegahan untuk memastikan rakyat tidak begitu terkesan dengan kenaikan harga barang.

    

"Saya ingin menekankan bahawa negara tidak mengalami krisis ekonomi," katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu program temu bual Ruang Bicara terbitan Bernama TV malam tadi.

Antara langkah-langkah yang diambil kerajaan bagi memastikan rakyat tidak terkesan dengan kenaikan harga barang dengan memberi Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) untuk memastikan kelangsungan hidup rakyat.

    

Mohd Irwan berkata kerajaan sentiasa memberi tumpuan kepada rakyat terutamanya dalam kalangan golongan pertengahan dan golongan bawahan, di samping mengawasi pertumbuhan negera.

Tentang inflasi negara yang ketika ini berada pada paras 3.4 peratus, Mohd Irwan berkata perkara tersebut disebabkan oleh kekurangan bekalan tertentu termasuk makanan.

Beliau menyifatkan kekangan dalam bekalan barangan juga dipengaruhi oleh faktor cuaca dan orang tengah yang mengambil kesempatan.

    

Mohd Irwan berkata pelaksanaan rasionalisasi subsidi adalah satu perkara yang tidak dapat dielakkan.

    

"Kita tak boleh menanggung subsidi. Subsidi satu elemen yang memberi keuntungan kepada golongan yang tidak sepatutnya menerima," katanya.

    

- Bernama