Hutan paya bakau seluas 3.2 hektar di Kampung Bakau Tua, Penaga dekat Georgetown hangus dijilat api dalam kejadian kebakaran tengah hari semalam.
Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Muda Yusmin Mohd Yusoff berkata kebakaran itu hanya dapat dipadam sepenuhnya pada pukul 7.30 malam tadi berikutan pihaknya mengalami kesukaran disebabkan cuaca panas serta faktor angin.
"Faktor tanah gambut dan hutan berlapis-lapis turut menyebabkan api merebak pantas dan meresap sehingga ke permukaan tanah ditambah dengan keadaan cuaca kering dan tiupan angin tidak menentu," katanya ketika dihubungi di Georgetown.
Beliau berkata sebanyak 12 anggota bersama dua jentera termasuk dari Balai Bomba dan Penyelamat Kepala Batas digegaskan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pukul 12.04 tengah hari.
Yusmin berkata punca kebakaran masih dalam siasatan.
Beliau menggesa masyarakat setempat tidak melakukan pembakaran terbuka terutama berhampiran kawasan belukar dan hutan semasa musim kemarau ini.
-Bernama
