'Dedahkan pemimpin yang dilarang masuk S'wak'
Ketua Pemuda PAS Sarawak Mohammad Arifiriazul Paijo mendesak pihak berkuasa imigresen mendedahkan senarai individu yang dilarang memasuki negeri itu kepada umum termasuk menyatakan sebab halangan itu dibuat.
Beliau berkata demikian bagi mengulas Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Mazlan Aliman yang dilapor dilarang memasuki negeri itu "atas perintah Pejabat Ketua Menteri" semalam.
"Hak Sarawak terhadap imigresen negeri tidak sepatutnya disalahgunakan untuk politik.
"Penyalahgunaan ini boleh merosakkan semangat Malaysia dan demokrasi dalam negara ini," kata Mohamad Arifiriazul dalam kenyataannya hari ini.
Semalam, Mazlan dilarang lagi memasuki negeri itu selepas ditahan pihak imigresen sejurus tiba di Lapangan Terbang Sibu pada jam 11.25 pagi. Kali pertama beliau dilarang masuk pada 6 Julai 2011 di Lapangan Terbang Miri.
Larangan itu dipercayai berkaitan perhimpunan mengenai hak tanah yang akan dirasmikan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Beting Maro hari ini.
Dalam kenyataannya itu juga, Mohammad Arifiriazul berkata 'pengusiran' Mazlan kali kedua dibuat tanpa alasan munasabah dan dakwaan bahawa pemimpin itu sebagai ancaman keselamatan adalah "mengarut dan dibuat-buat di sebalik alasan politik".
"Mazlan ialah aktivis yang dikenali terutama dalam perjuangan terhadap hak tanah dan Felda.
"Itulah sebabnya dia 'tidak dikehendaki di Sarawak' seperti yang dimaklumkan oleh Imigresen Sarawak hari ini," katanya.

