Guna kereta rasmi pergi beli nasi lemak
Ketika perwakilan Pemuda PAS sedang bermuktamar Khamis lalu, di luar dewan, seorang aktivis akar umbi parti itu merungut tentang 'gelagat baru' pemimpin parti itu mentadbir Terengganu. Aktivis pertengahan 30-an itu berkata semua pemimpin parti Islam itu menjadi sasaran kritikan tidak puas hati ahli-ahli PAS sendiri.
Ketika perwakilan Pemuda PAS sedang bermuktamar Khamis lalu, di luar dewan, seorang aktivis akar umbi parti itu merungut tentang 'gelagat baru' pemimpin parti itu mentadbir Terengganu. Aktivis pertengahan 30-an itu berkata semua pemimpin parti Islam itu menjadi sasaran kritikan tidak puas hati ahli-ahli PAS sendiri.
"Semuanya (anggota exco dikritik) kecuali Menteri Besar," jelasnya, apabila ditanya tentang berapa ramai lagi pemimpin kanan kerajaan negeri itu dikritik setelah mendengar begitu banyak rungutan terhadap Exco Pembangunan Islam dan Pelaksanaan Syariah, Harun Taib.
"Tetapi lama-kelamaan, orang ramai akan pertikaikan MB pula," katanya. "Kalau dah tahu banyak complaint , kenapa (MB) tak buat apa-apa?" hujahnya dalam pelat Terengganu.
Beliau bercerita tentang banyak rungutan - bermula pemberian kawasan balak kepada salah seorang ahli Umno tetapi tidak melalui tender terbuka hinggalah soal penyalahgunaan kenderaan rasmi untuk tujuan peribadi.
Menurutnya, maklumat tentang isu balak itu beredar melalui mesej emel tetapi tidak dapat mengesahkan sejauh mana soal itu dapat disokong dengan bukti atau dokumen rasmi. Bagaimanapun, isu kereta rasmi itu didakwa disaksikannya sendiri.
" Ana nampak dengan mata ana sendiri," ungkapnya, yang mulai berjinak dengan parti Islam itu sejak di sekolah menengah lagi, dengan tata bahasa gerakan Islam. Ana , yang bermaksud saya, merupakan istilah Arab yang popular digunakan dalam pertuturan aktivis pertubuhan-pertubuhan Islam.
Aktivis ini tinggal tidak jauh dari rumah exco kanan berkenaan yang selalunya dianggap pakar rujuk dalam hal ehwal perundangan PAS. "Isteri dia bawak (pandu) pergi beli nasi lemak," tambahnya.
"Sekarang isu ini (kereta rasmi) sudah jadi buah mulut. Yang hairan, ada sebilangan exco sudah mempunyai beberapa buah kereta (peribadi)," rungutnya lagi.
Tetapi, katanya lagi, yang lebih mengecewakan, jawapan yang diterimanya daripada bekas Ketua Pemuda PAS negeri itu tentang rungutan salah guna kemudahan awam tersebut.
"Isu (kereta) ini, ana malas nak jawab!" kata Ahli Dewan Undangan Negeri bekas aktivis ABIM itu dalam satu mesyuarat agung PAS peringkat kawasan.
"Kita selalu kritik Umno kerana menyalahgunakan kemudahan awam untuk tujuan peribadi, tetapi bagaimana sekarang?" beliau terus mempertikaikan.
Beliau bimbang kerajaan PAS Terengganu - yang baru berusia enam bulan - mengulangi KKN (kornisme, korupsi dan nepotisme) yang menjadi kemarahan rakyat terhadap Umno.
"Soalnya bukan amalan, soalnya prinsip. Lagipun, perbuatan itu (kereta rasmi) terlalu menjolok mata," beliau mempertahankan rungutannya apabila dihujahkah bahawa amalan KKN dalam Umno jauh lebih serius berbanding isu kereta rasmi yang diungkitnya itu.
Sementara seorang kontraktor kecil merungut tentang apa yang didakwa 'amalan tidak telus' kerajaan negeri itu. "Nampaknya hanya mereka (kontraktor yang dilihat pro-Umno) yang pernah mendapat tender (ketika Umno mentadbir) dulu mendapat kontrak," katanya.
Sementara seorang lagi kontraktor pula merungut kerana terpaksa mengambil kerja-kerja sub-kontrak daripada seorang kontraktor Umno yang mendapat projek.
Pelbagai rungutan didengar daripada pelbagai peringkat - daripada pegawai kerajaan negeri dan aktivis parti hingga rakyat biasa - dan semuanya itu bertujuan melihat PAS berada atas landasan yang betul seperti yang sering diceramahkan oleh parti Islam itu.
"Janganlah bekerja keras untuk PAS dan mengharapkan (sesuatu yang unggul). Nanti kita kecewa," pesan rakannya pula.
Apakah amalan 'tiga abdul' seperti tulis Sayuti Omar sedang berkembang di sebalik bulan purnama di Terengganu?

