Penyelesaian 10 perkara & negeri tak bercanggah
Penyelesaian 10 perkara yang digariskan kabinet pada 2011 tidak bertentangan dengan enakmen-enakmen negeri dan keputusan Mahkamah Rayuan terhadap larangan penggunaan kalimah Allah, kata Datuk Seri Idris Jala.
Sambil menyifatkan isu itu sangat sensitif, menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, penyelesaian 10 perkara itu tidak bermaksud membiarkan penyebaran agama bukan Islam kepada orang Islam.
“Dengan kata lain, Alkitab dibenarkan dengan bersyarat, bahawa ia untuk kegunaan orang Kristian, gereja dan anggotanya serta bukan Islam,” kata Idris, antara yang terlibat dengan penggubalan penyelesaian] itu pada April 2011.
“Bagaimanapun, jika sesiapa menggunakan Alkitab atau menggunakan mana-mana perkataan larangan untuk menyebarkan kepercayaan bukan Islam kepada orang Islam, ia melanggar undang-undang Islam berkaitan.”
Idris, menerusi pandangannya di KiniBiz berkata, tidak menjadi kesalahan kepada bukan Islam untuk menyanyi lagu rasmi yang mengandungi kalimah Allah dalam liriknya.

